Home Politik Anwar tak terburu-buru muktamad 24 jawatan

Anwar tak terburu-buru muktamad 24 jawatan

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pelantikan semua 24 jawatan dalam PKR untuk tempoh 2018 – 2021 akan dimuktamadkan sebelum Januari nanti, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah beliau, keputusan berhubung perkara tersebut tidak akan dibuat secara terburu-buru kerana melibatkan proses rundingan dan pandangan semua anggotanya.

“Belum berbincang tidak perlu disegerakan.

“Yalah, ada kumpulan ini ada kumpulan itu tidak gembira, daripada semua tidak ada masalah.

“Tidak ada kesegeraan akan ada prosesnya kita akan berbincang dalam proses rundingan tidak perlu terburu-buru mengambil kira semua pandangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Anwar sudah memulakan proses libat urus pertama dengan pimpinan parti di Pulau Pinang dan akan diteruskan selepas pulang dari Turki hari ini.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan antara yang bakal mengisi jawatan penting dalam pimpinan parti.

Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan tidak adil untuk hanya mengaitkan politik wang kepada satu parti sahaja.

Namun beliau berpandangan bahawa wajar untuk ia dibincangkan secara teliti bukan hanya oleh Pakatan Harapan tetapi juga semua parti.

“Semua parti harus teliti, termasuk yang bercakap dalam parti, semua saya tidak ada masalah.

“Politik wang ini harus kita lawan, kenyataan saya cukup tegas tapi kalau nak tuju satu parti tak betul politik ini kalau nak bersihkan politik wang, cara hidup mewah dan membazir dan perbelanjaan yang melebihi daripada pendapatan kita harus teliti semua ni baru maksud reform,” ujarnya ketika ditanya adakah dakwaan politik wang dalam PKR semasa pemilihan baru-baru ini perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette