KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cara terbaik dan sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan isu kuil Sri Maha Mariamman adalah rundingan.
Justeru itulah kata Anwar, cara yang akan dipakai oleh kerajaan negeri Selangor yang memaklumkan bahawa rundingan dengan pihak yang berkaitan dalam kuil isu kontreversi itu bermula pada Isnin.
“Sebaik saya tiba dari Istanbul saya hubungi MB tentang keperluan memberikan penjelasan pertama dari sudut fakta keduanya tentang keputusan yang dibuat kerajaan negeri sebelumnya dan kesediaan mendengar pandangan sebelum dimuktamadkan.
“MB beri jaminan Isnin akan diadakan siri rundingan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini ketika diminta mengulas mengenai isu rusuhan kuil di USJ25 itu.
Anwar yakin rakyat tidak akan terbawa-bawa dengan cara ganas yang dibawa sebilangan kumpulan sehingga mengakibatkan berlakunya kekecohan di kuil itu baru-baru ini.
“Soal kaum dan agama ini memang mudah mencetuskan permusuhan dan pertelagahan tapi saya rasa majoriti rakyat tidak terbawa-bawa untuk tunduk dengan cara ganas dan kotor,” katanya.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menerusi kenyataan media hari ini menyatakan kesediaan menjadi orang tengah dalam perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat dengan kuil itu dalam usaha mencari penyelesaian.
Terdahulu Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berkata, kerajaan negeri Selangor boleh mengambil alih tanah kuil itu sebagai cara untuk menyelesaikan isu yang tercetus antara pihak pengurusan kuil dengan pemaju, Once City Development Sdn Bhd.
Bagaimanapun Amirudin menafikan dakwaan yang sebuah portal berita yang menyatakan kerajaan negeri Selangor akan mengambil alih tanah kuil tersebut. – MalaysiaGazette