Home Nasional Insiden kuil: Peguam Negara sedia jumpa peguam terbabit

Insiden kuil: Peguam Negara sedia jumpa peguam terbabit

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, prosedur penjualan itu akan dilaksanakan melalui Mahkamah Tinggi Admiralti di Kuala Lumpur.
Peguam Negara Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Penguan Negara, Tommy Thomas bersedia untuk bertemu dengan peguam-peguam yang terbabit dengan insiden kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Katanya, ini kerana pertikaian yang berlaku timbul susulan daripada keputusan mahkamah dalam prosiding sivil.

“Oleh itu, pihak saya dengan berbesar hati sedia bertemu dengan peguam yang mewakili pihak-pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut selaras dengan kuasa-kuasa yang diperuntukan kepada Peguam Negara berhubung charitable trusts di bawah Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Tommy, pihaknya melihat insiden keganasan yang berlaku di luar kuil itu sebagai sesuatu yang serius dan telah mencetuskan kebimbangan ramai terutama serangan kejam ke atas seorang anggota bomba yang sedang melaksanakan tugas.

Katanya, Jabatan Peguam Negara telah diberi taklimat berhubung perkara ini oleh pihak pengurusan tertinggi Polis Di-Raja Malaysia mengenai perkembangan siasatan mereka.

Sementara itu, Tommy memberitahu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan polis untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas semua yang terlibat dalam rusuhan tersebut tanpa sebarang pengecualian.

“Jabatan ini mengambil maklum akan keputusan untk menyegerakan tindakan dalam menangani situasi-situasi yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan keamanan,” jelasnya.

Tommy berkata, mengambil kira keseriusan dan sensiviti berhubung perkara itu, beliau telah mengarahkan supaya fail insiden itu dikendalikan di peringkat ibu pejabat di bawah Ketua Bahagian Pendakwaan yang akan memaklumkan perkembangan terkini kepadanya dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette