Home Politik RUU 355,: Tidak timbul siapa peralat siapa – Nasrudin

RUU 355,: Tidak timbul siapa peralat siapa – Nasrudin

KUALA LUMPUR – Pas tidak mudah terjebak dengan polemik dan sentimen politik dalam usaha parti itu hendak memartabatkan undang-undang mahkamah syariah melalui cadangan pindaan Akta 355.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, sebagai parti politik yang satu-satunya memperjuangkan Islam, partinya meletakkan segala polemik ke tepi.

“Ini tanggungjawab dan prinsip kita sebagai Muslim. Kita tidak boleh gentar atau takut pada tekanan mana-mana pihak.

“Begitu juga dalam hal pindaan Akta 355 ini, tidak timbul soal siapa peralat siapa.

“Ini kerana ada pihak mendakwa Pas memperalatkan UMNO dan ada juga bisik-bisik mengatakah UMNO memperalatkan Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Harakah Siri VI Pasca Himpunan 355 di MyHarakah Bazar di sini, hari ini.

Antara panelis yang turut serta ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyrag Wajdi Dusuki dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Nasrudin, matlamat utama Pas memperjuangkan Akta 355 ini untuk umat Islam bangkit hak mereka tanpa curiga antara satu sama lain.

Katanya, apabila tujuan untuk agama, ia tidak berbangkit siapa peralatkan siapa kerana ini adalah tanggungjawab kerajaan pada bidangnya dan Pas pada keupayaan.

Menjawab soalan peserta, beliau mengakui Pas tidak mampu hendak laksanakan keseluruhannya.

“Kita buat setakat yang mampu dan lain kali kita pinda mana-mana yang perlu pula. Kita buat sedikit demi sedikit.

“Kita buat ibarat berjalan atas lantai yang licin, kita kena berhati-hati takut tergelincir,” katanya. – MalaysiaGazette