Home Nasional RUU355 baru pindaan, banyak lagi proses perlu dilalui

RUU355 baru pindaan, banyak lagi proses perlu dilalui

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. foto SAFWAN MANSOR, 09 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Masih banyak lagi proses untuk dilalui oleh Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sebelum pindaan itu diluluskan dan berjaya dipinda.

Pelbagai proses itu antaranya bacaan kali kedua di Dewan Rakyat dan bacaan kali ketiga perlu dilalui RUU355 berkenaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah perbentangan dan perbahasan di Dewan Negara juga perlu mengambil tempat sebelum pindaan itu diluluskan untuk memperkasakan undang-undang berkenaan.

“Pelaksanaan undang-undang perlu melalui proses yang panjang dan negeri-negeri yang mempunyai sultan dan raja-raja perlu pinda Enakmen Jenayah di negeri-negeri masing-masing supaya ia selaras dengan persekutuan.

“Sekiranya diluluskan, itu baru rang undang-undang. Melalui bacaan pertama. RUU355 ini akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam Bicara Pasca Himpunan 355 anjuran Pas hari ini.

Hadir sama sebagai panelis adalah Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

RUU355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas masih lagi berada di usul ketujuh dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pada November tahun lalu, Abdul Hadi membawa usul periksa itu bertujuan memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Abdul Hadi membawa usul persendirian mencadangkan pindaan usul itu dengan menaikkan had hukuman penjara kepada 30 tahun, denda hingga RM100,000 dan maksimum 100 kali sebatan.

Hukuman syariah buat masa ini adalah hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan maksimum enam kali sebatan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, banyak pihak cuba untuk menimbulkan sentimen negatif dengan menimbulkan kebimbangan dan suasana tidak sihat dalam kalangan masyarakat terutamanya bukan Islam.

“Jangan anggap RUU355 sebagai ubat mujarab untuk selesaikan masalah kita. Jangan bercakap di luar kerangka dan sentimen yang tidak menguntungkan kita dan wujud perasaan prejudis.

“Apa yang dicadangkan tidak keluar daripada sempadan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -MalaysiaGazette.