Home Sukan De Gea kekal hingga 2020

De Gea kekal hingga 2020

David de Gea

LONDON – Manchester United kini boleh menarik nafas lega selepas kelab itu menyambung kontrak penjaga gol utama, David De Gea.

Sky Sports melaporkan, klausa kontrak De Gea telah diaktifkan sekali gus mengikat De Gea sehingga musim panas tahun 2020.

Kontrak pemain antarabangsa Sepanyol itu dijadualkan tamat pada Jun depan.

Difahamkan pada mulanya, De Gea telah menolak tawaran gaji £275,000 (RM1.47 juta) seminggu dan mahu sekurang-kurangnya £300,000 (RM1.6 juta) sebagai gaji asasnya.

Pada masa sama, United mungkin mempertimbangkan untuk menjual De Gea kepada Paris Saint-Germain atau Juventus jika perjanjian baharu itu tidak berjaya dipersetujui sebelum musim panas 2019.

Bekas pemain Atletico Madrid itu menyertai United pada 2011 dan telah membuat 333 penampilan serta memenangi anugerah pemain terbaik kelab itu sebanyak empat kali.

De Gea yang sering dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid bebas berbincang tentang perpindahan ke kelab lain melalui perpindahan percuma seawal Januari ini jika kelab Liga Perdana Inggeris itu tidak melanjutkan kontraknya. – MalaysiaGazette