Home Nasional Polis tahan Papagomo cetus sentimen perkauman

Polis tahan Papagomo cetus sentimen perkauman

Wan Muhammad Azri Wan Deris
Wan Muhammad Azri Wan Deris

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris kerana menyiarkan kenyataan berbaur hasutan menerusi sedutan videonya.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, blogger yang lebih dikenali dengan panggilan Papagomo itu ditahan awal pagi ini dan ditempatkan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang.

Katanya, beliau ditahan untuk membantu siasatan berhubung perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan pada 8 Disember ini.

“Beliau dilihat cuba untuk menaikkan sentimen perkauman dan kerana itu kita mengambil tindakan menahannya.

“Tindakan dia itu boleh menjejaskan keselamatan negara. Sedangkan, kita tidak mahu perkara berkaitan perkauman dibangkitkan dalam keadaan luar biasa. Jika dibiarkan, ia akan menimbulkan masalah lain dari segi keselamatan,” katanya kepada media dalam satu majlis di Ipoh hari ini. – MalaysiaGazette