KUALA LUMPUR – “Saya perlu baca dulu (keputusan mahkamah), belum tahu lagi ia kosong,”.
Itu reaksi spontan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika ditemui pemberita di lobi Institut Jantung Negara (IJN) petang hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai proses selanjutnya berikutan keputusan mahkamah yang mengarahkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kerusi tersebut.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu.
Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan kemenangan itu sebagai tidak sah dan mengarahkan satu PRK diadakan.
Menurutnya, pempetisyen M.Manogaran yang kalah kepada calon BN, C. Sivarraajh berjaya membuktikan wujudnya amalan rasuah yang dalam pengetahuan dan keizinan Ahli Parlimen kawasan itu.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang itu memfailkan petisyen pada 4 Jun lalu bagi menggesa pengisytihatan mahkamah supaya membatalkan kemenangan BN di kawasan itu atas dakwaan wujud amalan rasuah yang melibatkan wakil rakyat.
Sivarraajh yang kini Naib Presiden MIC menewaskan Manogaran dengan majoriti 597 undi apabila memperolehi 10,307 undi pada pilihan raya tersebut. – MalaysiaGazette