Home Nasional 73,000 pemilih berusia 90 tahun ke atas dalam rekod terkini SPR –...

73,000 pemilih berusia 90 tahun ke atas dalam rekod terkini SPR – Azhar Azizan

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Sebanyak 73,000 pemilih berusia 90 tahun dan ke atas termasuk seorang pengundi dikatakan berusia 150 tahun masih berada dalam rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Daripada jumlah itu, kita difahamkan bahawa 11,000 pemilih sebenarnya mengundi (pada Pilihan Raya Umum ke-14), jadi mereka masih hidup. Untuk baki (62,000 pemilih), kita akan pastikan ia dibersihkan,” kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.

Beliau ditemui pemberita pada program ‘Roundtable on Electoral Reform: The Way Forward for Free and Fair Elections’ di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya masih belum dapat mengenal pasti sama ada baki 62,000 pemilih warga emas itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.

“Pihak SPR sedang dalam proses pembersihan daftar pemilih bagi memastikan jumlah pemilih sebenar adalah tepat dan ia proses berterusan kerana setiap hari ada pemilih yang meninggal dunia,” katanya.

Ditanya sama ada pengundi yang dikatakan berusia 150 tahun itu masih hidup, Azhar Azizan berkata beliau masih belum dapat memastikan perkara itu.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara dalam usaha mewujudkan sistem pembersihan daftar pemilih secara automatik bagi pengundi yang meninggal dunia.

Mengulas mengenai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Azhar Azizan berkata tarikh PRK itu hanya akan diputuskan selepas menerima keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai rayuan penyandangnya Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Mereka ada enam bulan untuk membuat keputusan berhubung rayuan itu, (tetapi) saya fikir mereka akan putuskan lebih awal…selalunya lebih awal,” katanya.

Pada 16 Nov lalu, Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, adalah terbatal dan tidak sah.

— BERNAMA