SHAH ALAM – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor wajib memakai ‘lounge suit’ ketika menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali pada hari Jumaat, kata Speaker DUN, Ng Suee Li,
Beliau berkata etika pemakaian ‘lounge suit’ merupakan amalan yang diwarisi sejak 1959.
Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, keistimewaan diberi kepada mana-mana ADUN untuk memakai baju Melayu pada hari Jumaat.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Bangunan DUN Selangor hari ini bagi mengulas kenyataan ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin, yang mempersoalkan tindakan beliau menegur ADUN Taman Templer, Sany Hamzan, kerana memakai baju Melayu ketika menghadiri sidang DUN, Selasa lepas.
Mohd Imran, yang juga Setiausaha Ketua Pembangkang DUN Selangor, berkata pemakaian baju Melayu selain daripada hari Jumaat sepatutnya dibenarkan kerana pakaian itu juga dikategorikan sebagai pakaian rasmi.
— BERNAMA