SERDANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berjaya menghasilkan varieti tomato baharu yang dinamakan MAHA18 yang sesuai ditanam di tanah rendah pada persekitaran tropika.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, MAHA18 dinamakan bersempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
“Secara tidak langsung, varieti baharu ini dapat membuka peluang lebih meluas kepada pengusaha sayur-sayuran di kawasan tanah rendah dan memberikan pulangan hasil yang menguntungkan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan pelancaran Varieti Tomato Baharu Tanah Rendah (MAHA18), di Laman Sayur, MAEPS, di sini, hari ini.?
?Penghasilan varieti itu juga dilihat dapat membantu menambah bekalan tomato bagi peniaga sayur-sayuran serta bekalan persendirian penduduk di tanah rendah dengan lebih mudah.
“Kalau nak tanam tomato perlu tanam di kawasan tanah tinggi, terutamanya di Pahang dan kawasannya agak terhad, tetapi dengan hasil varieti baharu ini (MAHA18) boleh diusahakan dan ditanam di ruang (kawasan tanah rendah) perumahan kampung atau bandar,” tambahnya.
Turut hadir Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.?
MAHA18 adalah hasil kajian lebih 10 tahun MARDI, merupakan titisan tulen (inbred) terpilih hasil daripada kacukan varieti tomato komersil (MTI dan MTII) bersama varieti tomato dari luar negara iaitu Fumikura (buah berwarna merah dan bersifat lekang tangkai).
Varieti baharu itu (MAHA18) memberi hasil tuaian sehingga 30 metrik tan per hektar dan setiap pokok mampu menghasilkan tuaian sehingga tiga kilogram.
— BERNAMA?