KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menasihati Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar menyelesaikan segera isu berkaitan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).
Khalid berkata, Mohamed Azmin perlu segera mengambil langkah drastik membuat keputusan sama ada mengekalkan individu muflis yang dilantik dalam menguruskan yayasan berkenaan atau memecatnya.
“Perkara ini mesti diselesaikan dengan cepat dan pihak kerajaan negeri mesti buat keputusan kalau benar orang yang uruskan YAWAS itu boleh, maka tidak perlu dipecat, begitu juga sebaliknya.
“Jadi keputusan itu penting sebab YAWAS itu adalah satu organisasi yang menjaga kepentingan anak-anak Selangor.
“Oleh sebab itu kepercayaan masyarakat perlu dikembalikan kepada organisasi itu,” katanya selepas menjadi panel Bicara Pasca Himpunan 355 anjuran Pas hari ini.
Sebelum ini, Khalid membidas Mohamed Azmin kerana lambat membuat keputusan berhubung isu pelantikan individu muflis berkenaan.
Presiden Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sebelum ini mendedahkan ada individu muflis yang menguruskan yayasan dibawah kerajaan negeri Selangor itu.
Malah perkara itu turut diperakui oleh Mohamed Azmin bahawa pendedahan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu benar.
Mengulas mengenai itu, Khalid berkata, YAWAS sepatutnya mengadakan mesyuarat tiga kali setahun bagi memperincikan perkembangan mengenai yayasan berkenaan.
“Mengikut tatacara yang dibuat masa saya menjadi Menteri Besar sekurang-kurangnya ahli lembaga pengarah berjumpa tiga kali setahun. Saya tidak boleh hendak ulas sebab saya tidak ada maklumat. Masa saya kita adakan mesyuarat untuk mengetahui perkembangan syarikat
“Saya harap pengurusan (Menteri Besar) sentiasa bekerja demi janji kita kepada anak-anak yang lahir di Selangor sebab kita sudah janji untuk menjaga kepentingan mereka dalam menentukan pelaburan dan dana itu diuruskan dengan baik,” katanya. -MalaysiaGazette.