KUALA LUMPUR – Bekas pemain Selangor, Azammuddin Mohd. Akil atau popular dengan panggilan Alex sah menjadi milik Kedah dalam saingan Liga Super musim depan.
Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menerusi laman Facebook rasminya di sini hari ini yang mengesahkan Alex telah mengikat perjanjian dengan skuad Lang Merah itu.
Selain Alex yang beraksi bersama Pahang dan JDT, KFA juga mengesahkan mengikat seorang lagi pemain namun belum dapat mengumumkan namanya kerana masih menggalas tugas bersama pasukan kebangsaan yang sedang beraksi dalam kejohanan Piala AFF Suzuki.
Menurut kenyataan tersebut, Alex mencapai persetujuan bersama dengan KFA berkaitan kontrak dan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan persatuan.
“Dalam persetujuan bersama antara Alex dan KFA, tempoh tiga bulan telah dipersetujui untuknya kembali cergas sebelum melayakkannya menerima faedah daripada insentif pendapatan.
“Malah komitmen Alex untuk bersama Kedah dengan kontrak bersyarat sedemikian merupakan satu contoh disiplin dan komitmen yang baik kepada para pemain lain,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Kedah telah mengumumkan muka baharu yang bakal memperkuat pasukan iaitu N. Thanabalan, Syahrul Azwari Ibrahim dan Azmeer Yusof.
Selain itu, KFA juga mengumumkan dua tonggak import baharu iaitu Muhammad Shakir Hamzah dari Singapura dan Anmar Fares Abdul Jabar dari Iraq.
Malah Kedah juga bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain dari Brazil dan Sepanyol yang nama mereka akan diumumkan dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette