Home Nasional Bayaran RM1,500 peserta Tawas dijamin mencukupi

Bayaran RM1,500 peserta Tawas dijamin mencukupi

Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Program Bantuan Masuk Sekolah Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, Batu Caves, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 02 DISEMBER 2018.

BATU CAVESĀ – Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan bayaran RM1,500 kepada peserta-peserta Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang akan mula disalurkan menjelang 2026 mencukupi.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, pihaknya sudah bersedia untuk membuat pembayaran kali pertama sejak skim itu mula diperkenalkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dan kini Pakatan Harapan (PH) pada 2008.

“Mulai 2026 kita akan mula berbelanja dengan sejumlah wang untuk membayar RM1,500 kepada peserta-peserta ini dan saya percaya kita sudah ada tabungan untuk pembayaran itu

“Cuma sistem kita adalah bagaimana kita memastikan pelaburan yang kita akan buat selepas ini tidak membebankan kerajaan negeri dan tidak perlu menabung begitu banyak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Bantuan Masuk Sekolah TAWAS di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, di sini, hari ini.

MGF02122018_TAWAS_07
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersama kanak-kanak yang mendapat bantuan pada Majlis Perasmian Program Bantuan Masuk Sekolah Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, Batu Caves, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 02 DISEMBER 2018.

Amirudin juga berkata, sejak skim itu diperkenalkan, seramai 333,000 anak Selangor telah didaftarkan pihaknya dan beliau tidak menolak tabungan itu bakal dijadikan sebagai insentif Hadiah Masuk Kerajaan Negeri.

“Saya akan pastikan kita gantikan RM1,500 kepada hadiah masuk universiti dan insentif lain seperti hadiah masuk TVET atau program dalam kerajaan negeri.

“Kita bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk lihat pelaburan untuk 333,000 peserta ini dan bagaimana ia dilaburkan ke arah pelaburan yang lebih berdaya saing dan mampu mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata lagi, cadangan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) agar pendidikan tinggi peserta TAWAS perlu diberi perhatian akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu depan.

“Gan Pei Nei ada mencadangkan beberapa perkara dan insya-Allah kita akan mesyuarat Isnin atau Selasa ini untuk lihat bagaimana supaya sistem TAWAS ini benar-benar dapat membantu anak-anak pada masa depan.

“Bukan hanya 18 tahun, bukan kita melihat SPM mereka bahkan kita akan lihat Tingkatan 1 mereka, mungkin kita akan gabungkan dengan Tuisyen Rakyat.

“Dengan data ini Kerajaan Negeri sudah boleh mula merancang 10 hingga 20 tahun kedepan berapa banyak pelaburan kita buat khusus untuk peserta TAWAS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette