Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu ke atas Bashir Khan Abib Rahman, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki satu unit telefon bimbit yang mengandungi satu filem lucah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Dia melakukan kesalahan itu di hadapan pejabat pengawal keselamatan Hospital Ampang di Ampang di sini pada 3 petang, 2 Mac lepas mengikut Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah melakukan hubungan seks dengan seorang pelajar berusia 17 tahun dan merakam video perbuatan itu dengan telefon bimbitnya.
Rakaman video itu kemudian di “screen shot” oleh tertuduh dan disimpan di dalam telefon bimbitnya.
Hasil siasatan mendapati mangsa berkenalan dengan tertuduh melalui aplikasi Wechat pada 12 Feb lalu dan keesokan harinya mangsa telah mengikuti tertuduh ke sebuah hotel sebelum tertuduh memperdayanya untuk melakukan hubungan seks.
Terdahulu ketika rayuan mengurangkan hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang rendah dengan alasan dia berpendapatan RM1,500 sebulan dan menyara ibunya.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan sama.
— BERNAMA