Home Politik Saya mahu pilih ‘wartawan’ untuk kerusi DUN Rantau, Cameron Highlands – Anwar

Saya mahu pilih ‘wartawan’ untuk kerusi DUN Rantau, Cameron Highlands – Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Buku 9 May 2018:Notes From The Frontline di The Curve, Mutiara Damansara, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

PETALING JAYA – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang di lihat begitu ‘gembira’ ketika sidang media hari ini secara berseloroh mengatakan beliau mahu memilih calon dalam kalangan wartawan bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Rantau nanti.

Sidang media gamat seketika sebelum beliau memohon kepada wartawan untuk bersabar kerana masih awal untuk membuat sebarang keputusan bagi kedua-dua kerusi tersebut kerana ada pihak telah dan akan mengemukakan rayuan pembatalan masing-masing.

“Hmm, saya mahu pilih calon dalam kalangan wartawan. Saya minta anda (wartawan) bersabar dulu.

“Kes-kes ini masih dalam di mahkamah. Sama ada pembatalan ini diteruskan atau sebaliknya. Kita tunggu dulu. Sabar, ini tidak sabar langsung. Tunggu dulu,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku 9 May 2018; Notes From The Frontline oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini.

Jumaat lepas, Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan penyandang kerusi itu, Sivarraajh.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata, beliau berpandangan pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wang rasuah itu diberikan kepada pengundi.

Sementara Hakim Datuk Norazimah Omar pada 16 November lalu dalam keputusannya mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau dalam PRU-14 terbatal dan tidak sah dan mengarahkan pilihan raya kecil diadakan serta-merta.

Keputusan itu dibuat berikutan petisyen bagi membatalkan keputusan kerusi DUN itu yang difailkan oleh calon PKR, Dr. S. Streram.

Dalam PRU-14, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding di kerusi DUN itu selepas Streram dihalang masuk bagi menghantar borang pencalonan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya. – MalaysiaGazette