KUALA LUMPUR – Seandainya Menteri Pendidikan, Dr Maslzee Malik begitu komited dalam memberi tauladan serta memastikan kesalahan tersebut tidak diulang generasi akan datang, beliau turut disaran memasukan isu-isu lain selain daripada 1MDB sahaja.
Antaranya, kes kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an yang sentiasa disifatkan sebagai skandal terbesar ketika itu.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, Punithan Paramsiven berkata, dirinya cukup teruja dengan cadangan ‘warna-warni’ yang seringkali dibangkitkan oleh Maslzee tiap kali dan hari ini beliau telah mendedahkan dirinya akan memastikan skandal 1MDB dimasukan dalam kurikulum Sejarah Malaysia.
Kata Punithan, Maszlee juga berikrar untuk kes-kes jenayah besar khazanah negara yang telah ‘disamun’ oleh pimpinan politik akan dimasukan dalam sukatan teks sejarah bagi memastikan generasi akan datang tidak lagi ketinggalan untuk mengetahui isu tersebut selain daripada melakukan perbuataan.
“Saya cukup tertarik dengan Menteri yang seorang ini. Selalu sangat memberi idea-idea kreatif yang jarang sekali di fikir oleh pemimpin lain. Sungguh bagus dan menarik.
“Saya dengan rendah diri ingin memohon kepada beliau supaya juga mempertimbangkan isu forex BNM ketika 90-an yang ketika itu adalah skandal paling besar kerana negara telah kerugian atau ‘kehilangan’ hampir RM31.5 bilion yang nilainya sungguh besar.
“Perincian Laporan Suruhanjaya Siasatan RCI bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing ini perlu diperjelaskan juga. Ini bukan satu skandal yang kecil, sekiranya Maszlee benar-benar serius dalam memastikan generasi akan datang tidak lakukan kesilapan seperti ini, seharusnya ini juga perlu dimasukkan.
“Mungkin Maszlee lupa, kes 1MDB masih lagi dalam prosiding mahkamah dan tiada perincian siapa sebenanya yang bersalah atau sebaliknya.
“Kita perlu sentiasa jujur dan telus, jangan sekadar mendabik dada sahaja mengatakan diri itu suci tetapi semua yang diperjuangkan dan dikatakan hanya sekadar polemik politik untuk kepentingan segelintir pihak dan bukan rakyat secara umumnya,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Punithan mengulas cadangan Ahli Parlimen Simpang Renggam (PH) itu yang akan memasukkan skandal 1MDB ke dalam silibus mata pelajaran sejarah Malaysia sebagai usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kesalahan tersebut tidak diulang kelak.
Jelas Punithan lagi, manifesto PH yang kebanyakkan hanya sekadar retorik dan janji bulan bintang yang tidak dapat dicapai sendiri adalah satu ‘pengajaran’ serta tauladan kepada semua untuk pelajari.
“Kerajaan terdahulu tumpas di tangan PH kerana janji-janji retorik yang dilaungkan oleh mereka yang kini mereka hanya menuding jari selain daripada mendakwa itu hanya sekadar janji PRU sahaja.
“Janji manifesto itu sendiri boleh diajar kepada para pelajar supaya apabila mereka meningkat dewasa dan boleh mengundi, mereka juga tahu perbezaan antara janji manifesto dan realiti yang ditaburkan oleh pimpinan politik. Ini juga sebenarnya perlu diajar kepada generasi akan datang.
“Sejarah akan mengajar mereka untuk lebih berhati-hati agar tidak terpedaya dengan janji dan harapan palsu, anda huraikan dan fikirkan sendiri apa yang saya cuba sampaikan,”tempeleknya.
Tambahnya, KPM yang diterajui oleh Maszlee perlu lebih fokus dalam menerapkan agenda-agenda nasional dari segi pencapaian negara dan bukan isu polemik.
“Isu 1MDB tidak memberi manfaat dalam bidang pendidikan, mengapa isu politik dicampur aduk dalam pendidikan negara? Hentikan politik dan fokus kepada transformasi pendidikan tulen yang akhirnya membawa kepada pemikiran berdaya global. Tolonglah,” tegasnya. –MalaysiaGazette