Home Utama MCA diminta segera tinggalkan BN – Mohamad Hasan

MCA diminta segera tinggalkan BN – Mohamad Hasan

Mohamad Hasan

SEREMBAN – MCA diminta agar segera meninggalkan Barisan Nasional (BN) bagi memudahkan UMNO dan komponen parti berbaki untuk membangunkan semula BN.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai parti yang berprinsip, MCA harus lebih ‘berfikiran tetap’ dan tidak berdolak-dalih kerana tindakan seperti ini tidak memudahkan BN untuk ‘move on’ bahkan telah menunda proses rejuvenasi BN.

“Saya sangat berterima kasih jika MCA segera meninggalkan BN. Kita tidak boleh punya rakan yang membebankan kita di kala kita berada dalam kedudukan paling susut dalam perjalanan politik kita. Dan tidak mahu memikul tanggungjawab atas kekalahan kita.

“Keluar sahaja dari BN seperti parti-parti lain yang telah meninggalkan BN tanpa syarat. Keputusan sebegini akan memudahkan UMNO dan komponen parti berbaki untuk membangunkan semula BN.

“Keputusan MCA yang sangat berdolak-dalih dilihat mereka masih lagi tidak dapat berpisah selamanya dengan BN. Kerana itu mereka tidak membuat keputusan keluar dari BN,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya keputusan perwakilan MCA membubarkan BN adalah sesuatu yang tidak sukar difahami kerana apa jua keputusan perwakilan MCA adalah sesuatu yang dijangka kerana sentimen negatif terhadap BN semakin menebal di kalangan anggota MCA pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Cadangan pembubaran BN oleh MCA tidak akan mengukuhkan sistem dwiparti dalam politik Malaysia, katanya.

Katanya UMNO, MIC, MyPPP dan PBRS telah menegaskan bahawa BN akan terus menjadi platform yang bukan sahaja mereka pertahankan, tetapi juga perjuangkan.

“Parti-parti komponen ini percaya bahawa sistem dua parti dalam arena politik Malaysia mesti diperkuatkan. Mana mungkin pendirian ini tidak diketahui oleh MCA dan perwakilannya. MCA tidak harus mengheret parti komponen lain BN ke dalam polemik dalaman MCA.

“Keputusan untuk membubarkan BN jelas sekali menunjukkan bahawa MCA tidak mahu dilihat meninggalkan BN sendirian. Ia mahu keputusan itu dilakukan secara kolektif oleh BN. Sebabnya MCA tidak mahu dipersalahkan jika keputusan itu dianggap langkah mundur ke belakang dalam mematangkan demokrasi di Malaysia,” katanya.

Semalam, pada Perhimpunan Agung MCA ke-65 sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

— BERNAMA