Home Nasional Macam tak bertamadun, bomba pun nak dipukul – Zuraida

Macam tak bertamadun, bomba pun nak dipukul – Zuraida

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yb Zuraida Kamaruddin meluangkan masa melihat aset terbaru Jabatan Bomba pada Majlis Perasmian Pengoperasian Helikopter AW189 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Agustawestland Malaysia Sdn Bhd Subang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 04 DISEMBER 2018
SUBANG JAYA- Jangan menyalahkan keupayaan jentera atau kelengkapan pasukan bomba apabila anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim mengalami cedera parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada pagi Selasa lepas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, insiden malang itu tiada kena-mengena dengan kegagalan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Insiden itu bukan masalah kemudahan atau jentera bomba tapi masalah orang yang menjadi mangsa kepada keadaan.
“Ia tiada kena mengena dengan jentera, operasi atau pengurusan kita, tapi orang awam yang menyebabkan perkara itu terjadi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pengoperasian Helikopter AW189 JBPM, di Agusta Westland Malaysia Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Luar Itali, Manlio Di Stefano, Duta Besar Itali ke Malaysia, Christiano Maggipinto; Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan dan Pengarah Urusan Agusta Westland Sdn Bhd, Alaimo Vincenzo.
Zuraida juga berkata, insiden yang menimpa Muhammad Adib menunjukkan orang ramai semakin tidak menghargai pasukan beruniform di negara ini.
“Tugas kita nak memahamkan dan didik orang awam supaya faham kakitangan beruniform tidak harus dipukul dan sebagainya kerana mereka buat kerja untuk rakyat.
“Ini sesuatu yang sangat menyedihkan apabila rakyat tidak menghargai pasukan beruniform bomba mengambil tindakan dengan memukul.
“Sudah tentu bomba datang untuk menyelamatkan, kenapa dia nak aniaya anggota bomba yang datang buat kerja,” katanya.
Katanya lagi, insiden itu juga merupakan satu peringatan kepada semua pihak agar tidak mengulangi tindakan tidak bertamadun itu.
“Ini satu peringatan kepada rakyat Malaysia, jangan buat lagi perkara ini kerana ia tindakan tidak bertanggungjawab.
“Ini adalah negara bertamadun dan rakyat kita tidak bersikap seperti berada di negara bertamadun.
“Macam kita zaman yang tak bertamadun pukul orang sana sini polis bomba pun nak pukul,” katanya lagi. – MalaysiaGazette