Home Nasional Pemulihan awal anak-anak OKU penting – Siti Hasmah

Pemulihan awal anak-anak OKU penting – Siti Hasmah

Isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali beramah mesra bersama Branden Lim Jun Hong penghidap Spinal Muscular Atrophy ketika hadir bagi menyerahkan sumbangan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan di Global Doctors Hospital, Mont Kiara. foto AFIQ RAZALI, 04 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menasihati ibu bapa dan masyarakat agar peka serta prihatin mengenai pentingnya pemulihan peringkat awal untuk kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU).

Isteri Perdana Menteri itu berkata, ini kerana proses pemulihan itu memberi impak sangat tinggi kepada anak OKU jika dikesan masalah mereka daripada usia muda.

Jelas beliau, pada masa sama langkah tersebut dapat mengurangkan rasa rendah diri dan terasing di kalangan anak kurang bernasib baik itu.

“Contohnya anak-anak OKU yang menghadapi masalah disleksia jika dikesan lebih awal dapat memberi implikasi besar serta mengubahkan nasib mereka kerana usia mereka masih muda.

“Pada masa sama, ia dapat mengelak mereka berasa terpinggir dan rendah diri untuk membesar seperti anak normal lain.

“Jadi ibu bapa dan guru jika dapat mengesan awal anak-anak ini, cepatlah hantar ke pusat pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan cek sumbangan kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Sakit Jarang Jumpa Malaysia, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia dan Childline Malaysia.

Sumbangan berjumlah RM163,000 itu merupakan hasil kutipan pada Charity Retro Nite anjuran Global Doctors Hospital pada 16 November lalu.

MGF04122018_TUNDRSITIHASMAH HADIR MENYAMPAIKAN SUMBANGAN_08
Isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali bersama Pengerusi Eksekutif Global Doctors Hospital, Datuk Dr. Sharifah Fauziah Al Habshi melihat buku Tun Dr. Siti Hasmah pada majlis penyerahan sumbangan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan di Global Doctors Hospital, Mont Kiara. foto AFIQ RAZALI, 04 DISEMBER 2018.

Mengulas lanjut, Siti Hasmah menambah, NGO diseru untuk bersama dengan kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan anak OKU di negara ini.

Jelas beliau, NGO boleh berperanan untuk menyumbang dan prihatin bagi memastikan golongan itu menjalani kehidupan lebih baik.

“Walaupun kerajaan memberi pelbagai bantuan terutama kewangan kepada OKU, ia masih boleh ditingkatkan kerana ada di kalangan mereka terlepas pandang disebabkan kekurangan kakitangan.

“Anak OKU ini bukan sekadar memerlukan bantuan kewangan, sebaliknya juga kepakaran dan komitmen jangka panjang termasuk latihan dan kelas,” katanya. – MalaysiaGazette