Home Ekonomi Kastam pertahan tidak cukup dana bayar balik tuntutan GST

Kastam pertahan tidak cukup dana bayar balik tuntutan GST

KUALA LUMPUR- Permohonan tuntutan pulang balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.47 bilion sebenarnya sedang dalam semakan audit Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semasa Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 sedang disediakan.

Jabatan itu menjelaskan, kini keseluruhan semakan telah selesai dilaksanakan dan RM19.74 bilion telah pun diluluskan untuk membuat pembayaran pada akhir Julai 2018.

“Bagaimanapun, tiada dana yang cukup dalam tabung bayaran balik GST untuk membayar tunggakan tuntutan pemulangan semula.

“Manakala, bayaran balik tunggakan berjumlah RM0.9 billion adalah kepada dua syarikat milik kerajaan seperti dinyatakan dalam media massa.

“Tuntutan adalah berpunca daripada pelepasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan di bawah peruntukan Seksyen 56(3) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 bagi tuntutan cukai input yang telah dibayar oleh syarikat.

“Tidak ada sebarang kehilangan dana kerana kedua-dua syarikat adalah milikan 100 peratus Kerajaan Persekutuan,” kata jabatan itu di dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan berita yang memetik Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang mengatakan nilai kutipan GST yang masih belum dipulangkan balik adalah RM80 juta lebih tinggi berbanding angka yang dikeluarkan JKDM sebelum ini.

Laporan tersebut turut mendedahkan terdapat dua syarikat yang membuat 35 tuntutan balik masing-masing berjumlah RM259.1 juta dan RM629.5 juta. Nama kedua-dua syarikat tersebut tidak didedahkan.

Menyentuh mengenai penggantungan kepada sumbangan dividen khas Petronas untuk membuat bayaran balik GST yang tertunggak, JKDM menjelaskan kesemua tuntutan pulang balik sebanyak RM19.4 bilion itu perlu dibayar kerana kebanyakan tuntutan tersebut adalah sahih.

Katanya, di bawah peruntukan Seksyen 54(2) Akta GST 2014, semua wang GST hendaklah dimasukkan ke dalam Tabung Amanah GST manakala kesemua atau sebahagian daripada wang tersebut kemudiannya boleh dipindahkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan dengan kelulusan Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, semua wang kutipan GST telah dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan tanpa kelulusan Menteri Kewangan dan hanya beberapa peratusan tertentu dana telah dipindahkan ke dalam Tabung Amanah GST.

Jumlah dana tersebut tidak mencukupi untuk membuat pembayaran balik tuntutan GST, jelasnya.

“Pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah GST masih memerlukan pemindahan hasil sebanyak RM19.2 billion untuk membiayai bayaran balik GST yang telah atau akan diluluskan.

“Dilaporkan Akaun Hasil Disatukan hanya mempunyai RM450 juta pada 30 April 2018.

“Jumlah ini tidak mencukupi untuk dipindahkan kepada Tabung Amanah GST untuk membiayai bayaran balik GST yang tertunggak,” katanya lagi.

Najib di dalam hantarannya di Facebook kelmarin, mengatakan kegagalan pembayaran balik tuntutan GST adalah kesalahan kerajaan Pakatan Harapan dan bukan kerajaan Barisan Nasional pimpinannya.

Beliau berkata demikian bersandarkan kepada maklumat-maklumat yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dikeluarkan pada hari yang sama.-MalaysiaGazette

Terima kasih Jabatan Audit Negara – Najib