Home Utama Ops Yaman 2: Chin Tong tidak tahu apa itu MKN – Hishammuddin

Ops Yaman 2: Chin Tong tidak tahu apa itu MKN – Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien melahirkan rasa kecewa dan kesal kerana kerajaan kini masih lagi di takuk lama dengan pemikiran seperti pembangkang.

Malah sehingga kini, beliau mendakwa kerajaan kini khasnya yang menerajui Kementerian Pertahanan tidak melakukan apa-apa perancangan atau inisiatif yang sepatutnya untuk memperkasakan kementerian tersebut sebaliknya ‘sibuk’ mencari kesalahan lama.

“Selama enam bulan ini apa yang berjaya dilakukan oleh mereka bukan menambahbaik dan memperkasakan kementerian daripada dulu kepada yang lebih baik. Yang mereka buat selama ini hanyalah menuding jari dan mengorek apakah yang boleh dipalitkan terhadap saya.

“Sudahlah. Anda kini kerajaan bukan lagi pembangkang. Sudah tiba masa untuk menjadi kerajaan menerajui negara dan soal keselamatan negara di Kementerian Pertahanan perlu diberikan fokus, bukan cari salah saya.

“Enam bulan mereka cari kesalahan akhirnya isu Ops Yaman ini menjadi isu untuk mereka tuding jari. Saya sudah berkali-kali menjawab perkara ini, boleh semak handsard di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Ops Yaman 2 sebenarnya satu operasi digerakkan tanpa kelulusan daripada Kabinet yang juga diklasifikasikan sebagai maklumat rahsia demi kepentingan negara. Ianya mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), hakikatnya Menteri dan Timbalan Pertahanan perlu fahami terlebih dahulu fungsi serta agensi berkenaan.

“Ini adalah rahsia negara, saya tidak boleh dedahkan sekarang kerana saya sangat profesional. Jika dia (Liew Chin Tong) gunakan agensi-agensi di bawah kementerian ini untuk mencari kebenaran sebelum bercakap di khalayak ramai,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mendedahkan Ops Yaman 2 tidak mendapat kelulusan pentadbiran terdahulu susulan tiada keputusan Kabinet berhubung gerakan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi membantu pakatan tentera Arab Saudi.

Chin Tong berkata, bekas Menteri Pertahanan difahamkan tidak mendapat kelulusan Kabinet dari segi prosedur operasi standard (SOP) untuk operasi berkenaan.

Tambah Hishamuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Semborong (BN), Chin Tong sebenarnya tidak tahu apa itu MKN dan fungsi kerajaan selain peranan yang telah dimainkan oleh Kementerian Pertahanan itu sendiri.

“Diklasifikasikan beberapa perkara dan saya akan bercakap. Adakah mereka tahu apa itu rahsia negara? Boleh bercakap macam itu sahaja?

“Misi ini melibatkan keselamatan negara dan membabitkan nyawa rakyat Malaysia yang berada di sekitar kawasan pergolakan di Yemen.

“Anda jalankan siasatan betul-betul dulu. Saya tidak takut, saya rasa mereka ini tidak tahu apa peranan, tanggungjawab serta makna menjadi menteri sebenarnya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut memberi amaran dengan menarik kembali anggota ATM dari Yaman tidak akan menjamin nyawa hampir 700 rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu.

“Jika apa-apa jadi, mungkin Chin Tong atau Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah perlu bertanggjawab ke atas nyawa-nyawa ini,” ujarnya. –MalaysiaGazette