Home Dunia Presiden Korea Selatan dipecat

Presiden Korea Selatan dipecat

Presiden Park Geun-hye

SEOUL – Buat pertama kalinya dalam sejarah Korea Selatan, mahkamah memerintahkan presiden negara tersebut, Park Geun-hye dipecat ekoran skandal rasuah yang melandanya sejak berbulan lalu.

Presiden wanita pertama Korea Selatan itu merupakan anak kepada ikon diktator ketenteraan Perang Dingin, Park Chung-hee merupakan antara pejuang yang menentang provokasi nuklear oleh Korea Utara.

Laporan agensi-agensi berita dunia berkata, lapan hakim daripada Mahkamah Persekutuan berkumpul hari ini untuk mengeluarkan keputusan memecat Geun-hye daripada jawatannya akibat skandal rasuah.

Menurut mereka, tindakan Geun-hye serius dan menjejaskan semangat demokrasi dan undang-undang selain menimbulkan konflik.

“Dengan itu, Presiden Park Geun-hye perlu dipecat,” kata ketua hakim Mahkamah Persekutuan, Lee Jung-Mi.

Sebuah layar televisyen besar dipasang berhampiran mahkamah supaya rakyat dapat menonton keputusan tersebut secara langsung.

Manakala ratusan polis mula bersedia sekiranya berlakunya protes akibat keputusan tersebut.

Parlimen yang dikawal oleh pembangkang telah melakukan undian mengeluarkan Park pada Disember lalu dan mengikut undang-undang Korea Selatan, satu pilihanraya segera perlu dilakukan dalam tempoh 60 hari.

Skandal yang melanda negara tersebut berbulan lalu telah menyebabkan protes selama berminggu-minggu.

Park, 65, dituduh bersubahat dengan seorang rakannya, Choi Soon-sil dan seorang bekas pembantu presiden yang kedua-duanya sedang menjalani perbicaraan didakwa memaksa dua perniagaan besar menderma kepada dua yayasan yang ditubuhkan untuk menyokong inisiatif dasarnya.

Beliau juga dituduh menerima suapan daripada ketua Kumpulan Samsung bagi pihak kerajaan termasuk menyokong penggabungan dua syarikat bersekutu Samsung pada 2015 yang dilihat menyokong kepada penerusan kawalan penguasaan konglomerat terbesar Korea Selatan itu.

Beliau menafikan kesemua tuduhan tersebut namun memohon maaf kerana meletakkan kepercayaan kepada kawannya.-MalaysiaGazette