Home Utama Dua petugas PBB warga Malaysia akan tinggal di Beijing

Dua petugas PBB warga Malaysia akan tinggal di Beijing

Seorang petugas media tempatan membaca artikel mengenai kes kematian Kim Jong-Nam melalui telefon pintarnya ketika bertugas sehingga lewat malam berkaitan kes kematian Kim Jong-Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang mati dibunuh di klia2, Sepang 13 Februari lalu dihadapan Institut Perubatan Forensik Negara, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL

KEPALA BATAS – Dua petugas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang merupakan antara 11 orang warga Malaysia yang dilarang meninggalkan Korea Utara awal minggu ini, selamat tiba di Beijing, China semalam dan akan tinggal di sana buat sementara.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican berkata kedua-dua mereka yang bertugas di bawah Program Makanan Sedunia PBB, Stella Lim and Nyanaprakash Muniandy telah sampai di Beijing dan akan meneruskan program di sana.

“Saya telah bercakap dengan Stella menerusi telefon dan saya diberitahu mereka akan tinggal di Beijing untuk program PBB di sana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mereka adalah pemegang pasport PBB dan mereka dibenarkan meninggalkan Pyongyang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tweet terbarunya pada Khamis, menyatakan kedua-dua rakyat Malaysia itu, yang merupakan sebahagian daripada petugas PBB, telah tiba di Beijing.

— BERNAMA

+ posts