KUALA LUMPUR – Perodua Myvi diumumkan sebagai pemenang dalam segmen aras mula (Entry-Level) di majlis Anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) 2018.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, sejak dilancarkan setahun lalu, sejumlah 85,000 daripada 138,000 tempahan Perodua Myvi telah terjual di Malaysia setakat ini.
“Kami gembira dan dalam masa yang sama berasa rendah diri kerana kami telah berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan menawarkan sebuah kereta yang disukai dan memenuhi keperluan mereka. Kami akan mengambil ini sebagai motivasi untuk kami berkhidmat dengan lebih baik lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI) itu dihadiri oleh Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari.
Populariti Myvi dapat dilihat semasa di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18), di mana Myvi GT, kereta rekaan yang sporty, telah berjaya menarik perhatian ramai.
Bagi peminat auto yang terlepas peluang untuk melihat rekaan terbaharu Myvi itu, Perodua memberi satu lagi peluang di pameran International Automodified Kuala Lumpur (IAMKL) yang julung kali berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hujung minggu ini dari 8 Disember hingga 9 Disember.-MalaysiaGazette