Home Nasional Saya okay, kerja seperti biasa – Salahuddin

Saya okay, kerja seperti biasa – Salahuddin

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Walaupun menerima ugutan bunuh dengan cara paling ‘ngeri’, namun insiden tersebut langsung tidak menjejaskan tugas Datuk Salahuddin Ayub.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dengan nada ceria berkata, dirinya tidak terjejas sebaliknya tanggungjawabnya masih dilaksanakan seperti biasa.

“Saya ok. Tidak termenung atau sebagainya. Macam biasa sahaja, tidak trauma atau takut.

“Saya sendiri tidak faham, saya tidak punyai musuh atau bergaduh dengan sesiapa juga, ini kali pertama menerima ugutan seumpama ini. Tiba-tiba sahaja terima,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Beliau mengulas tentang bangkai seekor lembu bersama nota ugutan bunuh terhadap Salahuddin di depan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar pada Ahad lalu.

Polis telah menahan seorang lelaki dan kini siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Salahuddin berkata, pada mulanya beliau menyaangka ada pihak yang ingin ‘bermain-main’, lantas menganggapnya tidak serius.

Tetapi beliau dinasihati oleh polis bahawa ugutan seumpama itu tidak boleh dianggap main-main, apatah lagi dengan statusnya sebagai Menteri.

“Saya serah sahaja kepada polis untuk siasat, saya Cuma mahu tahu apakah motif sebenar perbuatan tersebut, itu sahaja,” ujarnya tenang.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang mengutuk insiden itu kerana menyifatkan Salahuddin sentiasa bersikap terbuka. –MalaysiaGazette