KUALA LUMPUR – Pengalaman melihat wajah tenang dan tersenyum kesemua mayat enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terbunuh di Puchong, Selangor akibat lemas pada Oktober lalu adalah antara perkara yang tak dapat dilupakan ahli Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM).
Dalam temubual eksklusif dengan MalaysiaGazette, SPJM menyifatkan tugas menguruskan kesemua jenazah ini cukup mudah walaupun agak kepenatan kerana proses memandi dan mengkafankan kesemua jenazah ini berlangsung kira-kira lima jam lamanya.
Menurut Mohd Rafieudin Zainal Rashid, 27, kelewatan tersebut disebabkan mereka terpaksa menunggu satu persatu mayat selesai menjalani bedah siasat.
Katanya, sewaktu kejadian, beliau dan ahli-ahlinya sedang bermesyuarat untuk membuat persiapan ke Palu, Indonesia bagi membantu mangsa tragedi tsunami.
Ujarnya, sebaik saja mendapat tahu insiden berkenaan, kesemua mereka yang berjumlah kira-kira 10 orang bergegas ke Hospital Serdang bagi membantu urusan mengkafankan para mangsa.
” Bermula dengan mayat pertama yang kami terima pukul 2.30 pagi, kami selesai menguruskan keenam-enam mayat anggota bomba tersebut kira-kira pukul 7.20 pagi. Sepatutnya sekejap sahaja cuma kami terpaksa menunggu satu persatu mayat disebabkan proses bedah siasat. Alhamdulillah tak banyak kecederaan pada mayat. Lagipun mereka lemas tak lama.
” Saya nak bagitahu satu perkara, kita boleh nampak banyak tanda-tanda baik pada jenazah mereka. Sungguh mudah menguruskan kesemua jenazah anggota bomba ini. Najis pun tak ada. Muka mereka manis, senyum, seolah-olah sedang tidur,” kata Mohd Rafieudin ketika ditemui MalaysiaGazette.com di sini semalam.
Enam penyelam PPDA maut ketika menjalankan operasi SAR seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.
Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24. Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Mangsa berasal dari Sibu, Sarawak: Tawau, Sabah; Kelantan; Port Dickson, Negeri Sembilan; dan dua dari Shah Alam, Selangor.
Sementara itu, seorang lagi ahli SPJM, Md. Noor Shafie memberitahu, antara kekuasaan yang ditunjukkan Allah ketika mereka menguruskan jenazah anggota-anggota bomba ini adalah berat salah seorang daripadanya.
Mengulas lanjut, ujar beliau, jenazah anggota ini perlu dihantar melalui kapal terbang ke kampung halamannya. Sebuah keranda seberat 30 kilogram yang selalu digunakan untuk majlis istiadat digunakan bagi mengisi jenazahnya.
” Saya difahamkan berat minimum untuk menjadi seorang anggota bomba lebih kurang 50 kilogram. Dalam erti kata lain, bila dicampur keranda dan berat arwah, paling kurang pun dalam 80 kilogram.
” Namun bila ditimbang, berat keranda dicampur berat tubuh arwah hanya sekitar 70 kilogram, jauh lebih ringan daripada yang sepatutnya!,” kata Md. Noor.
Tambahnya, sepanjang pengalamannya menguruskan jenazah, insiden melibatkan anggota-anggota bomba ini tak mungkin dapat dilupakannya kerana ‘keadaan’ mereka seperti tidak mati, tak seperti meninggal dunia.
Jelasnya, mayat tak pucat langsung, masih merah! – MalaysiaGazette.
SPJM (Bhg 2): Kasih seorang ibu mencium anak yang rentung terbakar