KUALA LUMPUR – Ribuan peserta Himpunan Ummah bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sudah mula bergerak dari beberapa check point ke Dataran Merdeka.
Pergerakan yang bertali arus itu berlangsung selepas para peserta selesai menunaikan solat Zohor.
Para peserta mula berkumpul di beberapa lokasi sejak awal pagi tadi untuk menyertai himpunan aman itu yang dijadual berlangsung pada pukul 2 hingga 6 petang ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ribuan peserta bergerak dengan aman dengan mematuhi setiap arahan yang diberikan sebelum ini.
Lokasi Masjid Jamek dan LRT Masjid Jamek penuh sesak dengan peserta-peserta yang tiba daripada pelbagai arah.
Pergerakan ribuan peserta himpunan itu sambil melaungkan “Allahu Akbar”, “Hidup Melayu”, “Bantah ICERD” dan menyanyikan lagi ‘Ini Barisan Kita”.
Kehadiran anggota polis berada di sekitar kawasan ibu negara bagi mengawal dan memantau pergerakan peserta himpunan berkenaan. – MalaysiaGazette