PETALING JAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa segan-silu mengakui Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinannya adalah sebuah kerajaan pusingan U.
Dr Mahathir berkata, kerajaan akan membuat pusingan U apabila wujud keperluan terutamanya apabila membuat kesilapan dalam membuat keputusan.
“Kadang-kala kalau kita masuk jalan yang salah, kita pusing balik, hanya jika ada keperluan.
“Kita tak boleh lindungi rakyat, walaupun hampir semua kita (menteri) malaikat, tetapi kadang-kala malaikat pun buat silap.
“Bila malaikat buat silap, mereka akan pusing U juga. Kita tak perlu ikut orang lain
“Awak kata kita tak sepatutnya (buat pusingan U) kita tak perlu ikut awak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH), di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia, (PPBM), di sini, hari ini.
Beliau mengulas pelbagai kecaman dan jolokan yang diberikan kepada Kerajaan PH di media sosial sama ada pemimpin pembangkang mahupun netizen berhubung banyak keputusan ditarik balik selepas dikecam.
Tidak kurang pula banyak keputusan yang diumumkan Kerajaan PH baru-baru ini dilihat bercanggah dengan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai akta baharu untuk menyekat mana-mana wakil rakyat bertindak lompat parti, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, negara demokrasi tidak menghalang perbuatan tersebut.
“Kita adalah sebuah kerajaan yang demokratik, kita percaya dengan semangat demokrasi dan demokrasi benarkan katak untuk lompat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.