PETALING JAYA – Kerajaan sedang mengumpul data untuk mengenal pasti dan menilai semula penjawat awam yang kehilangan pekerjaan selepas beberapa agensi kerajaan yang ditutup.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melihat sama ada mereka terlibat atau tidak dalam melakukan kerja-kerja bagi parti politik dan kerajaan terdahulu.
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, selepas proses saringan itu selesai, mereka yang tidak terlibat dengan politik Barisan Nasional (BN) akan diberi perhatian termasuk mengembalikan jawatan mereka.
“Apabila kita hentikan agensi-agensi ini, ramai pegawai dan kakitangan yang gugur. Perkara ini kita fikir perlu kita kaji semula sama ada mereka ini terlibat ataupun tidak, sama ada boleh dikekalkan jawatan-jawatan mereka.
“Walaupun mungkin ada yang menjadi mangsa tindakan kita, masalah ini akan diberi perhatian kerana kebanyakan mereka ini tidak terlibat dalam politik tapi hanya menjadi kakitangan kerajaan.
“Sekarang ini kita sedang mengumpul data-data berkenaan dengan mereka yang kehilangan punca pendapatan ekoran tindakan kita menutup beberapa agensi kerajaan yang telah disalahgunakan dahulu,” katanya pada sidang media, hari ini.
Jumaat lepas, seramai 52 kakitangan kerajaan yang menjalani kursus khas untuk menjadi pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) tiba-tiba digugurkan daripada program itu.
Mereka yang ditamatkan daripada kursus itu termasuk empat pegawai kontrak, yang dikatakan secara automatik kehilangan pekerjaan, manakala yang lain diarahkan untuk kembali ke jawatan lama mereka dengan segera.
Penamatan itu berlaku selepas Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan gred lulus untuk program Diploma Pascasiswazah Pentadbiran Awam (DPA khas).
Dr Mahathir juga berkata, mereka yang digugurkan daripada perkhidmatan awam selepas kerajaan terpaksa menutup beberapa agensi yang telah disalahgunakan oleh Kerajaan BN.
“Walaupun ia agensi kerajaan, ia diguna untuk parti, sebab itu kita terpaksa hentikan agensi-agensi ini.
“Kita tidak dapat teruskan dengan peranan agensi-agensi ini kerana wang yang datang dari punca yang kita tidak diketahui telah diguna untuk memberi saraan, hadiah dan sebagainya kepada mereka.
“Kita tidak ada wang, kita tak curi wang, jadi kita cuma bergantung kepada pendapatan kerajaan dan pendapatan kerajaan tidak mencukupi bagi kita membiayai perbelanjaan tinggi yang telah dilakukan oleh kerajaan lepas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette