Home Nasional Polis, agensi kerajaan berjaya kawal himpunan ICERD

Polis, agensi kerajaan berjaya kawal himpunan ICERD

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan pihak kerajaan berhubung status kontrak China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan pihak kerajaan berhubung status kontrak China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan dan agensi kerajaan yang mengawal keselamatan pada perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di sekitar Jalan Raja di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu, turut berpuas hati dengan pendekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memudah cara perhimpunan itu mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Perhimpunan kesyukuran di atas keputusan kerajaan membatalkan ratifikasi ICERD berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PDRM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua agensi kerajaan yang terlibat dalam mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perhimpunan ini berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur dan para peserta perhimpunan kerana telah berhimpun secara aman serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang perhimpunan diadakan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata selaras dengan semangat Malaysia Baharu, beliau ingin mengulangi pendirian kerajaan untuk sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman selagi hak-hak ini diamalkan menurut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette