NILAI – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu keputusan seri tanpa jaringan ketika berhadapan Thailand tempoh hari berulang ketika melayani kunjungan Vietnam pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018, Selasa ini.
Cheng Hoe berkata peluang beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu harus digunakan sebaik mungkin untuk mencatat keputusan positif sebagai bekalan selesa untuk dibawa pada aksi kedua yang dijadual berlangsung pada 15 Dis di Hanoi.
“Apa yang penting saya nak sekali lagi pemain fokus dengan perlawanan pertama ini sebab kita tidak boleh lagi lepaskan peluang bermain di laman sendiri.
“Pemain sudah pasti belajar sesuatu di perlawanan lepas bila kita kalah dan kali ini pasukan mempunyai keyakinan dari segi kombinasi dan keserasian juga telah bertambah. Inilah peluang terbaik untuk kita dapatkan keputusan positif,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.
Cheng Hoe berkata, beliau tidak begitu risau mengenai kecederaan yang dialami dua tonggak pertahanan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak serta penggantungan Muhammad Syahmi Safari.
Ini kerana, katanya, pasukan masih mempunyai barisan pemain simpanan yang berkualiti serta sentiasa berada dalam keadaan bersedia sekiranya diturunkan pada bila-bila masa.
“Setakat ini hanya dua pemain belum 100% cergas iaitu Aidil dan Syazwan tetapi yang lain dalam keadaan terbaik. Pemain seperti Irfan yang masuk gantikan Aidil ketika menentang Thailand bermain dengan baik walaupun menjaringkan gol sendiri. Saya rasa kali ini jika dia diturunkan dia akan lebih berkeyakinan.
“Untuk posisi Syahmi Safari pula mungkin Amirul Azhan akan diturunkan dan Adam Nor Azlin juga mempunyai peluang. Kita akan lihat sehingga hari terakhir latihan sebelum menentukan siapa yang akan bermain posisi itu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette