Home Nasional ICERD: Mereka hanya berundur setapak

ICERD: Mereka hanya berundur setapak

Gelagat seorang peserta pada perhimpunan 'Kesyukuran' meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pejuangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang bakal menghakis kuasa Islam dan Melayu tidak pernah padam.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat hadir himpunan anjuran Suruhanjaya Hal Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), sebagai bukti.

“Mereka (kerajaan PH) hanya berdiam sebagai satu strategi, mereka tidak berundur terus, mereka hanya berundur setapak (sahaja) ke belakang.

Jika tidak menerusi ICERD pelbagai cara lain (PH lakukan, seperti) menerusi pelbagai pindaan kepada akta boleh dilaksanakan. Ruhnya ialah menghakis kedaulatan Islam dan keistimewaan Raja-raja dan Melayu serta Bumiputra,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam, bahawa beliau tidak akan menghadiri sambutan Hak Asasi Manusia 2018 di Padang Timur, Petaling Jaya hari ini, kerana Putrajaya sudah ‘menolak’ ICERD.

Perdana Menteri berkata, mustahil untuknya menghadiri sambutan anjuran SUHAKAM itu yang memperjuangkan ICERD kerana ia bertentangan pendirian kerajaan.

Perhimpunan aman hari ini dijadualkan bermula jam 11 pagi. – MalaysiaGazette