KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia meminta semua pihak memahami maksud perbuatan diskriminasi sebelum setuju untuk meratifikasi
Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norashikin Abdul Ghani berkata, diskriminasi dalam pengertian awam bermaksud mesti membuat pilihan memilih yang satu berbanding lain.
Katanya, maka untuk memilih sesuatu itu mestilah dibezakan mengikut syarat, ciri dan kriterianya masing-masing.
“Ramai yang tidak fasih bahasa Melayu keliru dengan perbuatan pilih kasih. Pilih kasih atau pilih bulu bukan diskriminasi. Keduanya merujuk kepada perbuatan individu atau peribadi seseorang dan merupakan sesuatu yang sudah diterima sebagai norma dalam masyarakat sebagaimana diskriminasi.
“Diskriminasi pula menjadi standard atau undang-undang yang mesti diterima atau diamalkan oleh setiap ahli masyarakat. Malah menjadi kesalahan jika tidak diskriminasi.
“Misalnya pelajar lelaki dan perempuan mesti diasingkan tidur di asrama yang berlainan. Mesti dibezakan lelaki dan perempuan. Mesti dibuat pilihan. Mesti diskriminasikan.
“Berbeza pula dengan pilih kasih atau pilih bulu, ianya adalah sesuatu yang tidak diterima untuk diamalkan dalam sesuatu masyarakat yang normal. Misalnya syarikat berdaftar di Malaysia tetapi hanya nengambil pekerja berbangsa China sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang menegaskan akan terus menasihat kerajaan untuk meratifikasi baki enam konvensyen antarabangsa yang belum ditandatangani Malaysia.
Dalam pada itu, tambah Norashikin, satu lagi istilah yang berkaitan ialah meritokrasi.
“Sebenarnya ia juga adalah diskriminasi menggunakan kriteria atau syarat yang tidak tetap dan boleh berubah-ubah dalam membezakan seseorang dengan orang lain. Misalnya, melalui sistem penilaian dan pemarkahan.
“Meritokrasi adalah istilah yang ‘lebih positif, lembut dan halal’ berbanding dengan istilah diskriminasi.
“Namun meritokrasi juga digunakan sebagai topeng untuk menutup dan menghalalkan pilih kasih atau pilih bulu, melalui pemarkahan yang dilaksanakan,” ujarnya.
Jelas beliau, manusia di seluruh dunia di sepanjang zaman memangnya hidup berdiskriminasi.
“Contohnya lahir sahaja sudah ada diskriminasi, jika bapa tidak diketahui (seperti mangsa rogol atau anak luar nikah) mesti di binkan kepada Abdullah. Kecualilah jika ia bukan Islam.
“Bangsa didaftarkan bukan bangsa negara tetapi mesti di diskriminasi dengan bangsa Melayu, China, India atau sebagainya.
“Nak bagi makan bayi, kanak-kanak pun mesti wujud diskriminasi. Makanan haram tak boleh dibagi kepada yang beragama Islam.
“Pakaian pun mesti di diskriminasikan. Jika lelaki memakai pakaian perempuan ditangkap dan dihukum. Tetapi perempuan berpakaian lelaki tidak pula menjadi kesalahan, tidak ditangkap tidak dihukum.
“Nak pegang jawatan besar di syarikat-syarikat GLC pun didiskriminasikan. Kalau bukan orang politik parti yang memerintah memang tidak boleh.
Jelasnya, berdasarkan kepada contoh-contoh itu, adalah jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara diskriminasi, samalah juga dengan semua negara-negara maju di dunia ini seperti Amerika Syarikat yang mendiskriminasi terhadap wanita berhijab terpaksa menjalani pemeriksaan di sempadan lebih ketat berbanding wanita tanpa hijab.
“Semua rakyat yang hidup di dalam Malaysia tidak mempunyai pilihan melainkan mesti menerima dan hidup dengan diskriminasi.
“Ini kerana diskriminasi telah menjadi suatu norma dalam masyarakat majmuk Malaysia. Tanpa diskriminasi Malaysia tidak akan dapat menjadi sebuah negara contoh dunia dimana selama ini terbukti hidup dengan aman damai harmoni sentosa sejahtera, walaupun terdiri daripada berbilang agama dan bangsa.
“Islam Quran sebagai agama rasmi negara (dalam undang2 disebut sebagai agama bagi persekutuan) juga menetapkan dan mewajibkan diskriminasi dalam segala aspek kehidupan.
“Tanpa adanya diskriminasi, akan hancurlah agama, bangsa dan negara Malaysia ini.
“Tanpa diskriminasi kewarganegaraan, tidak adalah warganegara Malaysia, jadilah kita negara tanpa warganegara. Bukankah Amalan diskriminasi inilah yang mentakrifkan sesuatu hak keistinewaan semua pihak.
“Sesuatu yang mustahil seperti analogi seorang lelaki hendakkan hak sama rata dengan seorang wanita, tetapi tetap dia tidak boleh mengandung dan beranak. Lelaki tetap lelaki dan sama sekali tidak akan menjadi wanita,” tegasnya. – MalaysiaGazette