SINGAPURA – Harga minyak global naik dalam dagangan hari ini berbanding Jumaat lalu selepas OPEC dan beberapa sekutunya bersetuju untuk mengurangkan bekalan minyak sebanyak 1.2 juta tong sehari mulai Januari depan.
Pengurangan itu membabitkan sebanyak 800,000 tong sehari oleh OPEC dan bakinya oleh sekutu-sekutunya.
Penanda aras niaga hadapan Brent didagangkan kepada AS$61.81 setong naik 0.2 peratus berbanding harga penutup.
Manakala minyak West Texas Intermediate (WTI) pula didagangkan pada AS$52.35 setong, susut 0.5 peratus berbanding harga penutup.
Minyak Amerika Syarikat menyusut kerana ia tidak terlibat dalam pengumuman OPEC.
Penganalisis dari Bernstein Energy meramalkan, harga minyak akan disokong sekitar AS$70 setong pada tahun depan susulan pengurangan itu.
Ramalan itu masih menyaksikan penurunan sebanyak AS$6 setiap tong kerana permintaan bagi minyak mentah dijangka susut dari 1.5 juta sehari kepada 1.3 juta tong.
Permintaan minyak dijangka susut disebabkan kecekapan dalam penggunaan minyak dan kelembapan ekonomi.
Jepun, ekonomi ketiga terbesar dunia dan negara pengguna keempat minyak menyemak semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar kepada -2.5 peratys berbanding unjuran awal -1.2 peratus.
Manakala Amerika dan China pula masih dalam gencatan perang perdagangan yang mengancam pertumbuhan global dan menjejaskan sentimen pelabur.
Harga Brent mencapai 20 peratus lebih rendah berbanding harga pada awal Oktober lalu. – MalaysiaGazette