Beliau kelihatan dibawa dengan menaiki sebuah kereta SUV Kia Sorento berwarna perak dengan nombor pendaftaran WC1044W.
Najib dijangka memberi keterangan kepada SPRM berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ini merupakan kali kedua bekas Presiden UMNO itu dipanggil ke SPRM bagi isu pindaan laporan audit itu mengenai syarikat pelaburan strategik itu sejak Khamis lepas.
Pada 26 November lalu, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dalam laporannya mendedahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB diubah dan perkara itu diketahui oleh Najib sendiri.
Dua perkara penting yang tidak dimasukkan di dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan status kewangan 1MDB.
Menurut Madinah, perkara itu diarahkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputar belit oleh pembangkang ketika itu. – MalaysiaGazette