Home Nasional Polis nilai semula situasi di kuil Sri Maha Mariamman

Polis nilai semula situasi di kuil Sri Maha Mariamman

kuil
Pergaduhan antara dua kumpulan telah berlaku berikutan perselisihan faham tentang isu perpindahan Kuil di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Situasi di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya akan dinilai semula bagi mengurangkan anggota polis yang bertugas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan polis Selangor untuk menilai semula keadaan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Kami akan kenal pasti sebarang maklumat lain yang boleh mengancam keselamatan di sana. Kalau tiada, kita mungkin akan kurangkan pegawai dan anggota polis yang bertugas sebab kita tidak mahu banyak sangat tenaga yang digunakan.

“Kami perlu meminimumkan (polis). Kerana jika kita semakin lama ia akan memakan kos dan berlaku pembaziran tenaga. Jadi, isu-isu ini kami akan nilai terlebih dahulu sebelum kami ambil keputusan, petang ini.

“Setakat ini, tiada sebarang ancaman. Situasi telah kembali normal. Tapi kami tidak boleh membuat anggapan. Kami mesti buat pengawasan yang rapi secara berterusan agar tiada sebarang insiden berlaku termasuk di kawasan pusat beli-belah One City, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ronda Cegah Jenayah Pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) bersama Ketua Polis Negara di Central Market, Kuala Lumpur.

Mohamad Fuzi turut menegaskan tangkapan suspek kes berkenaan masih dalam angka (106 tangkapan) yang sama dan tiada sebarang tangkapan terbaru dilakukan pihaknya.

Apabila ditanya tentang keadaan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah dipukul dalam rusuhan itu, Mohamad Fuzi berkata anggota bomba berkenaan masih belum sedar.

“Beri Adib betul-betul pulih (untuk memberi keterangan), dia pun masih memerlukan alat bantuan pernafasan, kita perlu beri beliau masa, ” katanya.

Katanya keterangan Muhammad Adib akan diambil selepas dia dilaporkan sihat dan kembali pulih.

— BERNAMA