Home Nasional KPKT tetap teruskan kajian pilihan raya kerajaan tempatan

KPKT tetap teruskan kajian pilihan raya kerajaan tempatan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengiringi, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 DISEMBER 2018
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengiringi, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Walaupun ‘big boss’ sudah mengatakan pilihan raya kerajaan tempatan tidak akan dilaksanakan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap meneruskan kajian mengenai pelaksananaanya sebagai salah satu opsyen meningkatkan proses demokrasi dalam pentadbiran kerajaan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin menjelaskan, kajian yang dilaksanakan oleh KPKT itu akan mengambil contoh pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di negara-negara lain di dunia namun tetap mengikut acuan tempatan.

Ini termasuk mengambil kira sentiment dan sensitiviti rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“KPKT maklum akan kerisauan yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataan beliau berkenaan pilihanraya kerajaan tempatan sekiranya perkara itu dilaksanakan dalam keadaan semasa.

“Sebagai sebuah kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal Kerajaan Tempatan di Malaysia, KPKT akan meneruskan kajian mengenai pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan sebagai salah satu opsyen untuk mempertingkatkan lagi pendemokrasian dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Pagi tadi, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan pilihanraya kerajaan tempatan tidak akan dilaksanakan di Malaysia kerana antara lain boleh meningkatkan isu perkauman.

Tambah Zuraida, cadangan pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan itu hanya akan dibentangkan dalam tempoh tiga tahun lagi selepas KPKT membuat perangkaan yang mengambil kira pelbagai sudut terutamanya bagi memberi pemahaman, pemberdayaan dan penerangan bersepadu mengenainya.

“Perkara ini telah dinatijahkan di dalam Manifesto Pakatan Harapan, sebagai salah satu kaedah untuk memperkukuhkan demokrasi setempat, yang mana secara jelas akan memberikan kesan terhadap tahap kualiti perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang menjunjung tinggi aspirasi rakyat, cetusan inspirasi untuk melaksanakan semula pilihanraya kerajaan tempatan merupakan salah satu aspek pembaharuan demokrasi yang telah diketengahkan oleh Pakatan Harapan,” tambahnya lagi.-MalaysiaGazette