Home Dunia Polis kejam bunuh 56 orang mangsa

Polis kejam bunuh 56 orang mangsa

Mikhail Popkov. foto BBC

MOSCOW – Seorang bekas polis Siberia yang disifatkan sebagai pembunuh massa yang paling produktif di Rusia pada zaman moden telah dijatuhi hukuman mati kedua.

Mikhail Popkov, 53, membunuh 55 wanita dan seorang anggota polis berhampiran Irkutsk antara tahun 1992 dan 2007.

Sebelum ini dia telah dipenjarakan kerana terlibat dalam 22 pembunuhan lain.

Popkov membunuh mangsa selepas menumpangkan mangsa menaiki kereta pada lewat malam. Sekurang-kurangnya 10 orang mangsa telah diperkosa.

Dia ditangkap pada tahun 2012 selepas ujian DNA yang dijalankan berjaya mengenal pasti keretanya.

Kecuali seorang lelaki, kesemua mangsanya adalah wanita yang berusia 16 hingga 40 tahun.

Dalam tiga kes, Popkov telah menggunakan kereta polis.

Popkov membunuh mangsa-mangsanya di sekitar bandar Angarsk, berhampiran Irkutsk, dengan kapak dan tukul serta membuang mayat mereka di hutan, di tepi jalan dan di tanah perkuburan tempatan.

Dia mendakwa perbuatannya sebagai “membersihkan” Angarsk daripada wanita tidak bermoral.

Jumlah kematian yang disebabkan oleh Popkov melebihi 48 orang yang dibunuh oleh “pembunuh papan” Alexander Pichushkin, dan 52 orang yang dibunuh oleh Andrei Chikatilo semasa era Soviet.

Tanda tayar daripada kereta Niva milik Popkov ditemui di sebelah beberapa mayat, yang menyebabkan polis memeriksa semua pemilik jenis Niva di Angarsk.

Pemeriksaan DNA pemilik kereta dibuat untuk mendapatkan padanan pada mangsa dan proses ini telah menyebabkan Popkov dikenal pasti sebagai pembunuh.

Dia ditangkap dalam perjalanan ke Vladivostok, di timur jauh, ketika hendak membeli kereta baharu.

Bekas anggota polis itu kemudian mengaku 20 pembunuhan. Mangsa termuda beliau adalah seorang gadis berusia 15 tahun.

Mahkamah Irkutsk mendapati beliau bersalah kerana melakukan 22 pembunuhan pada tahun 2015 dan memerintahkan dia menjalani hukuman seumur hidup.

Tetapi beliau masih direman kerana siasatan pembunuhan lain sedang dijalankan.

Pendakwa Negeri, Alexander Shkinev berkata, Popkov kini akan merayu dengan harapan untuk mengekalkan pencen polisnya, bernilai 24,000 rubel sebulan (£ 284; AS$ 361), atas dasar dia telah bekerjasama dengan penyiasat. – MalaysiaGazette