KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2018 pada Seksyen 15(2)(C) yang telah diluluskan oleh Parlimen hanyalah menguntungkan parti politik sahaja dan tidak memberikan manfaat kepada gerakan mahasiswa.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-malaysia (Gamis), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pindaan itu hanyalah akan memberi ruang kepada pemain-pemain politik dalam negara untuk lebih mendekati mahasiswa secara langsung selepas ini sedangkan mahasiswa di dalam kampus mempunyai pejuangan dan ideologi mereka yang tersendiri.
Menurutnya, AUKU 2018 adalah masih sama seperti dahulu iaitu masih menyekat mahasiswa daripada mengurus organisasi mahasiswa secara autonomi seperti yang termaktub dalam seksyen 15A(1), keadilan mahkamah universiti yang masih di bawah kuasa individu lantikan politik (Naib Canselor) atau pemain politik negara seperti yang termaktub dalam Seksyen 16(1) dan kekebalan Naib Canselor serta ahli lembaga daripada undang-undang seperti yang termaktub dalam Seksyen 24C.
“Kami juga menentang sekeras-kerasnya peruntukan rimba yang mengikat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universti oleh pihak lembaga universiti seperti yang termaktub di dalam seksyen 48(1A) dalam AUKU.
“Apa yang menjadi tuntutan kepada gerakan mahasiswa ialah kebebasan untuk berorganisasi dan bukannya kebebasan untuk berpolitik secara kepartian kerana majoriti anak muda atau mahasiswa hari ini menolak politik kepartian.
“Sepatutnya dengan kuasa politik yang ada, Menteri Pendidikan memansuhkan segala seksyen yang menekan mahasiswa daripada bebas berorganisasi dan memberikan kepada kami kuasa untuk mengurus masyarakat kampus secara autonomi,” katanya.
Muhammad Faizzuddin berkata, alasan tidak cukup masa adalah alasan politik semata-mata kerana tempoh masa kerajaan selama enam bulan memerintah negara, sepatutnya lebih daripada cukup untuk mengkaji dan meminda undang-undang AUKU yang menyekat kebebasan mahasiswa.
Sehubungan itu, GAMIS menyeru kepada kerajaan agar menilai kembali pindaan yang sangat tidak bertanggungjawab dan hanya memberi kelebihan kepada parti politik sahaja ini dan meminda seksyen-skesyen lain yang selama ini membelenggu dan menafikan hak gerakan mahasiswa.
Malah, Gamis juga berkata, Menteri Pendidikan , Dr Maszlee Malik yang sedang memegang tampuk pemerintahan jangan terlalu angkuh dan sombong di samping menikmati gaji yang besar.
“Dengar rintihan dan tuntutan mahasiswa atau kerajaan akan berhadapan dengan protes besar mahasiswa di Putrajaya kelak,” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat hari ini sebulat suara telah meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 setelah dibacakan buat kali kedua dan ketiga.
Turut diluluskan dua lagi RUU iaitu Rang Undang-undang Institusi Pelajaran (Tatatertib)(Pindaan) 2018 dan Rang Undang-undang Institusi Pendidikan
Menurut Maszlee, pindaan ini bertujuan untuk memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada pelajar dalam bersuara dan berpolitik di dalam kampus.
Jelasnya, beliau komited untuk memansuhkan peruntukan yang menghalang aktiviti berpolitik di dalam kampus seperti janji manifesto. – MalaysiaGazette