PUTRAJAYA – Sebanyak RM1.4 bilion dibelanjakan untuk kos pemenjaraan dan penahanan banduan luar negara dalam tempoh 10 bulan tahun ini.
Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, jumlah itu membabitkan lebih kurang 500,000 kes jenayah oleh warga asing.
Setengah juta kes jenayah yang direkodkan di Malaysia itu dari Januari hingga Oktober dan ia diuruskan di Mahkamah Majistret.
“Kita tidak ada pilihan selain mereman mereka, kos yang terlibat itu sangat banyak,” katanya kepada pemberita.
Justeru menerusi Dialog Hak Asasi Manusia ASEAN Peringkat Tertinggi: Hak Tertuduh Dalam Kes Jenayah yang berlangsung hari ini, Richard berharap agar perbincangan tentang peluang untuk menghantar pulang banduan asing ini dapat dilakukan.
“Kalau boleh kita hanya mahu menguruskan banduan Malaysia sahaja, kalau tidak ia akan membazir dari segi kos.
“Itu yang akan kita bincangkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette