KUALA LUMPUR – Suasana di lobi Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila sekumpulan wakil Gabungan Pembebasan Akademik diminta oleh pegawal bertugas supaya menghentikan sidang media kerana tidak mendapat kebenaran untuk melakukan demikian.
Keadaan itu menyebabkan kumpulan pelajar berkenaan bertelingkah dengan pengawal keselamatan Parlimen sehingga situasi menjadi lebih panas apabila mereka mula menjerit sehingga terpaksa diusir keluar dari lobi.
“Kami hanya mahu bercakap, luah perasaan kami. Minta mansuhkan AUKU seperti yang dijanjikan. Berikan kami kebebasan untuk berpolitik dan bukan anda berpolitik.
“Kami bukan hendak mengadakan sidang media, kami hanya mahu bercakap dengan media, itu sahaja,” luah wakil kumpulan itu , Sharan Raj.
Keadaan menjadi tidak terkawal apabila sebahagian daripada 10 wakil gabungan itu menjadi sedikit agresif, bagaimanapun mereka akhirnya telah dibawa keluar sebelum Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin tampil menenangkan mereka.
Sebelum itu, gabungan berkenaan mendakwa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2018 pada Seksyen 15(2)(C) yang diluluskan Parlimen semalam tidak lebih daripada ‘agenda politik’ segelintir pihak dan tidak membawa kebaikan kepada mahasiswa.
Malah laungan ‘kebebasan berpolitik’ bukan untuk kepentingan para mahasiswa sebaliknya menguntungkan ahli politik untuk terus membawa fahaman mereka ke dalam kampus.
Menurut Sharan Raj, pihaknya sangat terkejut dan kesal apabila janji terdahulu untuk memansuhkan AUKU itu tidak berlaku sebaliknya pindaan akta tertentu yang sememangnya tidak membawa maanfat kepada para mahasiswa.
“Apakah mereka (kerajaan) tidak kasihan dengan perjuangan kita yang hampir 47 tahun yang menyekat kebebasan kita? Sebenarnya pindaan ini hanya memberi kelebihan untuk parti politik tertentu terus menyebarkan idealogi mereka dan bukan para mahasiswa bebas berpolitik. Bukan ini yang kita mahukan.
“AUKU masih sama walaupun ada pindaan, sekatan masih ada seperti yang termaktub dalam seksyen 15A(1), keadilan mahkamah universiti yang masih di bawah kuasa individu lantikan politik (Naib Canselor) atau pemain politik negara seperti yang termaktub dalam Seksyen 16(1).
“Naib Canselor serta ahli lembaga daripada undang-undang seperti yang termaktub dalam Seksyen 24C masih mempunyai keputusan muktamad dan kebal. Ini boleh menyebabkan pihak atasan untuk salah guna kuasa mereka sama seperti dulu.
“Hanya sekiranya mansuhkan Seksyen 15(2)(c) yang sebenarnya menghalang pelajar daripada bebas berpolitik, mengapa ianya tidak dimansuhkan? Apakah motifnya, di mana kebebasan yang dilaung-laungkan ini,” katanya.
Tambahnya, adalah sangat tidak bertanggungjawab dan mementingkan agenda sendiri apabila melakukan pindaan tertentu.
Semalam, Dewan Rakyat sebulat suara telah meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 setelah dibacakan buat kali kedua dan ketiga.
Turut diluluskan dua lagi RUU iaitu Rang Undang-undang Institusi Pelajaran (Tatatertib)(Pindaan) 2018 dan Rang Undang-undang Institusi Pendidikan
Menurut Maszlee, pindaan ini bertujuan untuk memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada pelajar dalam bersuara dan berpolitik di dalam kampus.
Jelasnya, beliau komited untuk memansuhkan peruntukan yang menghalang aktiviti berpolitik di dalam kampus seperti janji manifesto. – MalaysiaGazette