KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan diingatkan jangan menjadikan isu Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai satu hasutan halus yang mendorong pendeposit mengeluarkan wang mereka sehingga akhirnya menumbangkan satu gergasi besar aset umat Islam.
Malah, isu ini juga tidak dijadikan alasan kerajaan untuk tidak membayar dividen seperti yang diharapkan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, kerajaan Pakatan Harapan perlu menyerahkan kepada audit luar dan bebas untuk melakukan audit terhadap akaun TH
“Sudah banyak kali kerajaan PH bermain dengan angka bagi mengelirukan masyarakat. Penilaian aset TH sehingga dikira lebih rendah daripada nilai pendeposit boleh terdedah kepada permainan angka yang mengelirukan.
“TH adalah aset besar bagi umat Islam. Jangan pula ia dijadikan alasan untuk menutup kelemahan kerajaan Pakatan Harapan membayar dividen sepertimana sebelum ini kepada para pendeposit TH.
“Jangan juga ia menjadi satu hasutan halus agar umat Islam mengeluarkan deposit mereka dari TH sehingga akhirnya menumbangkan satu gergasi besar aset umat Islam sebagaimana kegemparan yang pernah dibuat oleh seorang pimpinan PH gang selalu mencipta kontroversi dan persepsi walaupun sesama mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, cadangan penjualan aset TH untuk menyelesaikan kononnya permasalahan kewangan TH bakal mendedahkan aset TH yang merupakan aset umat Islam kepada pemilikan pelbagai pihak luar.
Langkah itu, ujarnya perlu ditangguhkan sehingga audit luar mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Semalam, Muhajid mendedahkan TH mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion. – MalaysiaGazette