Home Nasional Apa sudah jadi dengan BMT, tengok juga nasib penanam sawit – Pas

Apa sudah jadi dengan BMT, tengok juga nasib penanam sawit – Pas

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. foto AFIQ RAZALI, 11 DISEMBER 2018.
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR –  Kerajaan digesa menetapkan harga lantai bagi satu tan sawit pada kadar RM350 serta membayar hasil sawit setiap dua minggu sekali bagi meringankan beban peneroka.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas senada dengan Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) mendesak kerajaan melaksanakan beberapa langkah untuk membolehkan para peneroka ‘bernafas’ berikutan harga sawit yang jatuh sekarang ini.

“Kasihanilah golongan peneroka ini yang terpaksa menanggung kos begitu tinggi akibat kejatuhan sawit ini. Mereka ini juga menuntut supaya kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membayar hasil sawit setiap dua minggu sekali bagi meringankan beban peneroka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tengahari tadi, seramai lebih 300 golongan peneroka FELDA berkumpul di luar Parlimen secara aman dengan memegang kain rentang dan memegang kad dengan kata-kata seperti ‘Peneroka Felda Bangkit, ‘Jangan Zalimi Peneroka’ dan ‘Peneroka Tuntut Janji’.

Peneroka
Tuan Ibrahiim Tuan Man menerima memorandum daripada peneroka.

Mereka telah menyerahkan sebuah memorandum berhubung tuntutan mereka kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim untuk diserahkan kepada pihak berwajib.

Sementara itu, Tuan Ibrahim juga tampil menyoal apakah yang terjadi dengan bayaran ‘Bantuan Musim Tengkujuh’ (BMT) yang tertunggak sejak awal November lepas dan kerajaan hanya mengunci mulut berhubung isu berkenaan.

Menurut beliau, peruntukan bantuan BMT yang sudah termaktub dalam Belanjawan 2018 oleh kerajaan terdahulu untuk tiga bulan sepatutnya sudah dilangsaikan ketika ini.

“Sekarang sudah hampir pertengahan bulan Disember tetapi bayaran yang sepatutnya diperolehi oleh golongan pekebun kecil dan penoreh getah masih tidak diberikan.

“Persoalan saya kini, dimanakah dana serta peruntukan yang sudah mendapat kelulusan dan sepatutnya diperolehi masih belum diterima? Apakah yang terjadi dengan dana yang telah diluluskan itu,” soalnya.

Objektif pemberian bantuan itu adalah bagi memastikan kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah terbela ketika musim tengkujuh mulai yang bermula dari November sehingga Januari.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memperuntukkan sebanyak RM304.5 juta kepada penoreh getah di seluruh negara melalui BMT bermula pada November tahun lepas.

Bantuan itu merupakan kali pertama sejak 60 tahun Malaysia merdeka dan ia akan berterusan setiap tahun bagi meringankan beban penoreh getah di tanah air. –MalaysiaGazette