Home Politik Salahkan Zahid hanya alasan untuk halalkan tindakan keluar parti – Bung Moktar

Salahkan Zahid hanya alasan untuk halalkan tindakan keluar parti – Bung Moktar

Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Ahli UMNO di semua peringkat diingatkan supaya menghentikan gerakan menjatuhkan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekiranya ia benar-benar wujud seperti yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Walaupun tidak mengetahui adakah benar wujud gerakan tersebut atau sebaliknya, namun Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya akan melemahkan parti.

“Saya tidak dengar, kalau ada saya minta yang terlibat berhenti kerana ini cuma akan melemahkan parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda parti itu Khairy Jamaluddin mengakui wujud rancangan sulit dalam kalangan ahli parlimen UMNO untuk menyingkirkan Zahid, namun beliau menafikan terlibat dalam usaha tersebut.

Bung ketika diminta mengulas mengenai tindakan wakil rakyat dan Ketua Bahagian UMNO di Sabah keluar beramai-ramai berkata, ianya berpunca daripada tiada ketahanan mental dan fizikal untuk menjadi pembangkang dan tidak mahu hidup susah bukannya kerana hala tuju parti atau kepimpinan presiden selaku peneraju yang didakwa tidak jelas.

Ahli-ahli akar umbi termasuklah wakil rakyat menurutnya lagi, sepatutnya menjadi penggerak kepada usaha untuk membangunkan parti itu sebagai sebuah pembangkang berkredibiliti, namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Jelas beliau, daya tahan yang tidak dimiliki oleh segelintir pihak dalam UMNO untuk ‘bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian’ didorong atas faktor terlalu lama menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum berhadapan dengan kekalahan pada pilihan raya yang lalu.

“Tiada kena mengena dengan Presiden dan hala tuju UMNO. Hala tuju kita jelas mahu jadi pembangkang yang kuat.

“Tapi saya jangka ini bukan alasan, alasannya tiada ketahanan mental, fizikal dan sudah biasa hidup selesa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu menyifatkan, tindakan menyalahkan pucuk kepimpinan tertinggi khususnya menuding jari kepada Zahid sebagai sosok yang tidak mampu menerajui parti itu hanyalah demi menghalalkan cara untuk meninggalkan UMNO.

“Dalam keadaan sulit sekarang yang banyak hanya tuding-menuding sepatutnya sama-sama bertanggungjawab.

“Kalau semua yang silap bukan satu sahaja, ini tidak terjadi,” tambah beliau.

Pada 12 Disember, 13 wakil rakyat negeri itu dan 21 Ketua Bahagian meninggalkan UMNO dan mengisytiharkan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara yang keluar adalah, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Parlimen Beluran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang negara (PAC), Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Sepitang, Yamani Hafez Musa; Ahli Parlimen Beufort, Datuk Azizah Mohf Dun dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Rahim Bakri.

Malah sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang turut bertindak sedemikian adalah ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor, Masidi Manjun (Karanaan), Japlin Akim (Usukan), Musbah Jameh(Tempasuk), Gulam Haidar Khan (Kawang), Mohd Arifin Arif (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Nizam Titingan (Apas). -MalaysiaGazette