KUALA LUMPUR – Kebanyakan ketua bahagian dan cawangan tidak menjalankan tugas mereka di peringkat akar umbi menjadikan UMNO secara keseluruhannya kelihatan seolah-olah hilang hala tuju sejak menjadi parti pembangkang Mei lalu.
Situasi ini yang disifatkan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub sebagai punca parti itu semakin lemah dan dilihat seolah-olah tidak berfungsi lagi, bukan kerana hala tuju atau kepimpinan presiden yang dipertikaikan oleh segelintir pihak.
Tambahnya, selepas daripada Perhimpunan Agung UMNO September lalu, kegagalan ketua-ketua bahagian dan cawangan bertindak proaktif dalam memberikan penjelasan tentang rancangan parti itu sebagai pembangkang, mengakibatkan ramai ahli tidak mendapat maklumat yang jelas.
“Soalnya mereka ini walaupun Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangka 22 garis panduan, tujuh pelan tindakan tapi apa yang pemimpin bahagian dan wakil rakyat buat bila mereka balik ke bahagian mereka? Mereka senyap.
“Patut selepas PAU masing-masing buat kerja seupaya ahli tidak terpinga-terpinga macam kucing hilang anak. Saya tahu sebab ada ahli bertanya apa jadi dengan bahagian?” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas beliau, tidak adil meletakkan tanggungjawab dan kesalahan kepada Ahmad Zahid sebaliknya tindakan terbaik adalah kerjasama di antara akar umbi dengan kepimpinan tertinggi.
“Banyak yang berfikiran begitu dan berpendapatan begitu tapi itu hanya satu alasan kalau kata Zahid tidak ada hala tuju, apakah garis panduan yang diberi Presiden sebelum ini dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak jelas lagi?
“Salahkan pucuk pimpinan tidak hala tuju tidak adil. Apa yang dirancangkan presiden memang tidak boleh berjalan sendiri, jika cawangan dan bahagian tidak menggerakkannya, mereka perlu buat kerja,”katanya lagi.
Justeru beliau menyelar tindakan pemimpin dan wakil rakyat UMNO yang menyalahkan dan mendakwa Zahid gagal menjadi peneraju yang baik sebagai alasan untuk meninggalkan parti.
“Veteran tidak suka cara ini kalau nak keluar keluar dengan cara terhormat tapi kalau lompat keluar salahkan pucuk pimpinan itu tidak betul,” ujar beliau.-MalaysiaGazette