KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengubah barisan kepimpinannya agar dapat meraih sokongan dan kembali diterima oleh rakyat, kata penganalisis politik Profesor Dr. Jayum Anak Jawan.
Parti itu, menurutnya, masih mempunyai masa untuk berbuat demikian memandangkan kedudukan seterunya iaitu PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) belum stabil.
“Untuk memastikan kelangsungannya, UMNO memerlukan barisan kumpulan kepimpinan yang baharu yang cekap. Rakyat Melayu dan bukan Melayu tidak akan tunggu lagi.
“Walaubagaimanapun masih ada ruang untuk UMNO kerana PKR dan PPBM termasuk PAN masih belum kukuh,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kedudukan parti itu yang tidak stabil semenjak selepas pilihan raya lalu sehingga kini menurutnya lagi, berpunca daripada barisan kepimpinannya yang tidak mempunyai kemampuan untuk membimbing UMNO.
Jayum juga melihat gandingan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan tidak mampu mengembalikan zaman kegemilangan parti itu.
“Ketidakstabilan UMNO pada masa kini adalah kerana pemimpinnya. Di bawah kepimpinan sekarang, UMNO tidak akan boleh bertahan dengan situasi politik yang tidak menentu ini.
“Dua pemimpn tertinggi UMNO tidak mempunyai keupayaan untuk mengembalikan zaman kegemilangan UMNO.
“Ia terbukti dengan prestasi beberapa bulan ini, tiada arah tuju yang jelas tentang strategi UMNO untuk berhadapan dengan senario dan ‘cuaca’ politik selepas apa yang berlaku pada pilihan raya 2018,” kata pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu lagi.
Tidak bergerak ke hadapan, namun sebaliknya parti itu dilihat Jayum semakin ke belakang apatah lagi dengan sentimen perkauman yang dimainkan.
Parti itu juga dalam masa yang sama perlu menerima hakikat sebenarnya bahawa UMNO memerlukan sokongan bukan Melayu untuk diterima oleh rakyat.
“Tidak menuju ke hadapan sebaliknya UMNO ke belakang, bermain dengan isu berkaitan dengan sentimen yang hanya akan mengakibatkan kejatuhannya. Memainkan isu perkauman sudah tidak lagi berkesan.
“Jadi masih ada harapan untuk UMNO dihidupkan semula, tapi ahlinya perlu berubah dengan menerima hakikat bahawa mereka memerlukan sokongan orang Melayu dan bukan Melayu untuk kembali berkuasa,” tambah Jayum.
Selain pandangan pemerhati politik ini, bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin hari ini menggesa UMNO mengadakan pemilihan parti serta-merta.
Pemuda Sabah menerusi Naib Ketua Pemudanya Ghazalie Ansing pula semalam mendesak Zahid meletakkan jawatan kerana dianggap bertanggungjawab terhadap tindakan pemimpin kanan negeri itu keluar parti beramai-ramai. – MalaysiaGazette