HANOI – Dalam usaha untuk memastikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan bolasepak negaranya, Vietnam Airlines akan menambah 14 penerbangan dari Ho Chin Minh ke sini khusus untuk peminat fanatik mereka.
MalaysiaGazette difahamkan, setakat ini 3,700 tiket penerbangan telah habis ditempah untuk saingan kedua akhir Piala AFF Suzuki tersebut.
Bagi mengelakkan kesesakan luar biasa di lapangan terbang, penumpang-penumpang diberi pilihan untuk melakukan daftar masuk di kiosk dekat Tan Son Nhat atau kiosk berhampiran lapangan terbang Noi Bai itu sendiri.
Walaupun bandar Ho Chin Minh bukanlah ibu negara Vietnam, tetapi ia merupakan wilayah perdagangan terpenting di selatan negara ini dan mempunyai kepadatan penduduk hampir 9 juta orang, melebihi bilangan penduduk Hanoi itu sendiri.
Vietnam gagal membawa kemenangan baru-baru ini apabila sekadar seri 2-2 dengan Malaysia pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pada perlawanan yang disaksikan lebih 80,000 penonton termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Vietnam mengejutkan Malaysia dengan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit.
Vietnam memperoleh gol pertama hasil jaringan Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 sebelum gol kedua hadir menerusi Pham Duc Huy pada minit ke-25.
Namun Harimau Malaya bangkit melawan apabila merapatkan kedudukan oleh tandukan Shahrul Saad pada minit ke-36 hasil sepakan percuma Syamer Kutty Abba.
Bermula separuh masa kedua, Malaysia terus memburu jaringan dan gol penyamaan muncul menerusi sepakan percuma oleh Muhammad Safawi Rasid.
Malaysia yang kali terakhir menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010 perlu mencari gol kemenangan sebagai kelebihan di sini namun keputusan 2-2 kekal hingga ke wisel penamat.
Sementara itu, perlawanan akhir kedua akan berlangsung di Stadium My Dinh di sini pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette