Home Dunia Banjir besar mungkin landa Jakarta pada malam tahun baharu

Banjir besar mungkin landa Jakarta pada malam tahun baharu

JAKARTA – Warga Jakarta perlu bersedia menghadapi kemungkinan banjir besar sekitar sambutan malam tahun baharu nanti.

Kepercayaan yang dipegang masyarakat tempatan mengatakan bandaraya tersebut akan mengalami banjir besar pada setiap lima atau enam tahun sekali yang mana ia telah berlaku pada tahun 1996, 2002, 2007 dan 2013.

Setakat ini, masih tiada banjir besar berlaku dan ia mungkin akan terjadi pada awal tahun hadapan, kata kebanyakan masyarakat yang mempercayainya, lapor The Jakarta Post.

Bagaimanapun, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mengatakan pusingan banjir besar itu tidak wujud namun ia tetap memberi amaran mengenai cuaca yang tidak dijangka susulan kejadian di Depok, Jawa Barat serta angin kuat yang telah memusnahkan bangunan-bangunan di Jakarta Selatan.

Menurut BMKG, penduduk Greater Jakarta akan mengalami hujan lebat, kilat, petir dan angin kuat tidak lama lagi.

Disebabkan itu, Gabenor Jakarta Anies Basweden berkeras mahu meneruskan program normalisasi sungai yang dibuat oleh gabenor sebelumnya Basuki “Ahok” Tjhaja Purnama.

Program tersebut melibatkan pemusnahan kawasan kejiranan miskin bagi memberi laluan  kepada pembinaan dinding konkrit dan pembaikan jalan di sepanjang tebing sungai.

Anies mahu memulihara sungai-sungai berkenaan dengan caranya sendiri.

“Kami telah menghantar 192 kepingan peralatan berat untuk menggali sungai dan menaturalisasikannya.

“Selain itu, kami turut membaik pulih prasarana yang berkaitan dengan sungai dan tasik di Jakarta,” katanya.

Bandaraya tersebut telah mula membina longkang menegak namun hanya terhad di beberapa kawasan sahaja.

Kejadian banjir di Jakarta adalah disebabkan pembangunan terlalu pantas dan tidak terancang sejak berdekad lalu.

Ia telah menjejaskan kawasan tadahan air yang mana bandaraya tersebut ketika ini hanya memiliki kurang daripada 10 peratus kawasan hijau dengan penduduk pula melanggar peraturan bangunan.

Jakarta kehilangan terlalu banyak keupayaan untuk menakung air ditambah dengan pembangunan pesat di sekitar 13 sungai menyebabkan hasrat untuk melihat ia sebagai sebuah bandaraya yang bebas banjir adalah sesuatu yang mustahil.- Agensi