SYDNEY – Australia secara rasmi mengiktiraf Jerusalem Barat sebagai ibu negara Israel, sekali gus menyemak semula hubungan Timur Tengah negara itu, bagaimanapun tidak akan memindahkan kedutaannya ke sana secara serta-merta, kata Perdana Menteri, Scott Morrison hari ini.
“Australia kini mengiktiraf Jerusalem Barat sebagai kerusi Knesset dan banyak lagi institusi kerajaan serta ibu negara Israel.
“Kami akan memindahkan kedutaan ke Jerusalem Barat apabila tiba waktu yang sesuai,” katanya kepada pemberita di sini.
Oktober lalu, Morrison berkata, beliau terbuka dengan cadangan untuk memindahkan Kedutaan Australia daripada Tel Aviv.
Katanya, Australia tidak akan memindahkan kedutaannya ke Jerusalem Barat sehingga status akhir bandar tersebut disahkan namun begitu pejabat-pejabat perdagangan dan pertahanan akan dibuka di sana.
Beliau mengesahkan sokongan Australia terhadap penyelesaian dua negara dengan ibu negara Palestin terletak di Jerusalem Timur.
Keputusan Presiden Donald Trump untuk memindahkan Kedutaan AS ke Jerusalem daripada Tel Aviv amat menggembirakan Israel bagaimanapun telah menimbulkan kemarahan rakyat Palestin dan mengecewakan dunia Arab dan sekutu-sekutunya.
Ia turut menimbulkan kritikan daripada jiran-jiran majoriti orang Islam yang tidak mengiktiraf kewujudan Israel seperti Indonesia dan Malaysia.
Negara-negara Arab pula bimbang tindakan tersebut akan menyemarakkan lagi ketegangan di Asia Barat. – Agensi